PETALING JAYA: Syarikat farmaseutikal wajib melaporkan sebarang kemungkinan berkait kekurangan bekalan ubat sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal bermula 1 Julai ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi gangguan rantaian bekalan global.
Katanya, langkah yang sebelum ini dilaksanakan secara sukarela itu merupakan sebahagian daripada peralihan menyeluruh ke arah pengurusan risiko secara lebih proaktif bagi menjamin kesinambungan bekalan ubat dalam suasana ketidaktentuan dunia.
“Pemain industri diberikan tempoh sehingga 15 April ini untuk mengemukakan maklum balas berhubung ketersediaan bahan farmaseutikal aktif serta bahan pembungkusan, sekali gus membolehkan intervensi awal dilaksanakan sebelum sebarang kekurangan menjejaskan fasiliti kesihatan.
“Keutamaan kita adalah kepada pemantauan berasaskan ramalan dan sistem amaran awal. Kita telah beralih daripada pendekatan reaktif kepada pengurusan risiko secara proaktif, termasuk pelaksanaan peraturan pelaporan enam bulan lebih awal melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Kini, pemegang pendaftaran produk (PRH) diwajibkan melaporkan sebarang kemungkinan kekurangan atau penamatan bekalan ubat sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal. Perkara ini amat penting,” katanya dalam program The Nation bertajuk ‘Melindungi Bekalan Perubatan dalam Tempoh Ketidaktentuan’ hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, harga ubat-ubatan di negara ini meningkat antara 30 hingga 40 peratus berikutan kenaikan kos logistik, pengangkutan dan bahan api.
Peningkatan tersebut turut memberi kesan kepada kos peranti perubatan yang mencatatkan kenaikan lebih tinggi sebelum itu.
Harga peranti perubatan pula dikesan meningkat lebih ketara susulan gangguan penghantaran konsainan pada peringkat awal.
Dzulkefly berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada strategi negara dalam mengurangkan impak gangguan rantaian bekalan yang berpotensi berlarutan, walaupun selepas berakhirnya krisis Asia Barat.
“Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengambil pendekatan sehingga suku pertama 2027 bagi memastikan daya tahan berterusan dalam aspek logistik farmaseutikal negara.
“Berdasarkan simulasi kami, tekanan sebenar terhadap rantaian bekalan lazimnya berlaku sebagai kesan susulan sesuatu krisis dan boleh berlanjutan sekurang-kurangnya enam bulan.
“Justeru, persediaan yang dilakukan adalah berterusan dan tidak bergantung kepada perubahan geopolitik jangka pendek,” katanya. – UTUSAN










