Gagal bayar hutang, Al-Nassr disekat daftar pemain baharu

Gagal bayar hutang, Al-Nassr disekat daftar pemain baharu

KELAB Liga Pro Saudi, Al-Nassr yang dianggotai Cristiano Ronaldo dikenakan sekatan mendaftar pemain baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAUSANNE: Kelab Liga Pro Saudi, Al-Nassr dikenakan sekatan mendaftar pemain baharu oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.

Kelab yang dianggotai oleh Cristiano Ronaldo itu berdepan larangan tersebut kerana masih gagal melunaskan hutang kepada Leicester City ketika membeli Ahmed Musa.

Pada Oktober 2021, FIFA mengarahkan Al-Nassr membayar 460,000 euro (RM2.43 juta) serta kepentingan dalam pertikaian berhubung perpindahan pemain Nigeria, Ahmed Musa.

Musa menyertai Al-Nassr dengan harga 18 juta euro (RM91.74 juta) pada 2018 sebelum meninggalkan kelab Arab Saudi itu dua tahun kemudian dan kini beraksi buat kelab Turki, Sivasspor.

Menurut keputusan pada masa itu, sekiranya gagal membayar Leicester, Al-Nassr boleh dilarang daripada merekrut pemain sehingga ‘tiga tempoh pendaftaran keseluruhan dan berturut-turut’.

Al-Nassr yang menduduki tempat kedua liga musim lalu selepas menandatangani kapten Portugal, Ronaldo pada Januari, baru membawa masuk bintang tengah Croatia, Marcelo Brozovic dari Inter Milan awal bulan ini.

FIFA bagaimanapun tidak menyatakan status perpindahan Brozovic apakah dibenarkan atau tidak.

“Larangan berkaitan akan ditarik balik serta-merta selepas penyelesaian hutang disahkan oleh pemiutang berkenaan,” kata jurucakap FIFA. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN