LONDON: Manchester United sedia melupakan minat mereka terhadap Harry Kane jika Tottenham berkeras meletakkan tanda harga 100 juta pound (RM586 juta) untuk penyerang England itu.
Kane menjadi sasaran utama Erik ten Hag pada jendela perpindahan musim panas ini apabila pengurus itu tekad membawa penyerang bertaraf dunia ke Old Trafford.
Jumlah yang dituntut Spurs dilihat tidak berbaloi untuk United menandatangani pemain yang bakal menjejak usia 30 tahun, selain memiliki baki kontrak setahun lagi bersama pasukannya.
Menurut sumber, usaha mendapat penyerang Napoli, Victor Osimhen juga akan dihentikan susulan tanda harga 120 juta pound (RM703 juta) yang diletakan juara Serie A itu.

Begitupun, sasaran memikat penyerang Atalanta, Rasmus Hojlund dilihat lebih realistik untuk United dengan perbelanjaan sekitar 40 hingga 60 juta pound (RM234-352 juta).
Pemain Denmark berusia 20 tahun itu salah satu prospek paling menarik di Eropah dan akan menelan kos kira-kira separuh daripada harga Kane dan Osimhen.
Keutamaan Ten Hag pada musim panas ini ialah penyerang, penjaga gol dan pemain tengah.
Tawaran pembukaan 40 juta pound (RM234 juta) untuk Mason Mount telah ditolak oleh Chelsea, tetapi United merasakan bahawa ia mencerminkan nilai pemain England itu yang hanya berbaki satu tahun dalam kontraknya di Stamford Bridge.
Pembelian penjaga gol baharu pula bergantung kepada keputusan kontrak David de Gea.
Pemain Sepanyol itu masih belum menandatangani perjanjian baharu yang akan mengurangkan gaji semasanya 375,000 pound (RM2.2 juta) seminggu dengan baki dua minggu lagi sebelum dia menjadi ejen bebas. – AGENSI