MADRID: Ketika ramai bintang bola sepak dunia memilih Arab Saudi sebagai destinasi untuk menamatkan karier mereka, Robert Lewandowski tidak berminat biarpun ditawarkan gaji yang lumayan.
Selepas Cristiano Ronaldo, Karim Benzema menjadi nama besar terbaharu bakal beraksi dalam Liga Pro Saudi.
Malah, kelab-kelab kaya negara itu masih ghairah memburu pemain ternama ke liga tersebut dengan N’Golo Kante dan Roberto Firmino bakal mengikuti jejak mereka.
“Tiada isu, saya tidak memikirkannya.
“Terutama kerana kontrak saya (dengan Barcelona) masih ada untuk sementara waktu ini.
“Saya melihat apa yang berlaku (di Arab Saudi) tetapi ia tidak membimbangkan saya, kerana saya mempunyai keutamaan lain pada masa ini,” kata Lewandowski.
Bintang penyerang Poland berusia 34 tahun itu menepati kriteria yang dicari-cari oleh kebanyakan kelab di Liga Arab Saudi.
Begitupun, Lewandowski percaya, dia masih mampu memberikan prestasi terbaik buat Barcelona selepas meninggalkan Bayern Munich. – AGENSI