Sang Kenari terjemahkan 'Nafuzi Ball' tanpa Nafuzi

Sang Kenari terjemahkan ‘Nafuzi Ball’ tanpa Nafuzi

PEMAIN Kedah dikatakan berdepan tunggakan gaji melebihi tiga bulan yang menjejaskan persiapan musim 2024-2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kelancaran aksi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menguasai permainan tanpa kehadiran ketua jurulatih mereka, Nafuzi Zain di tepi padang ketika menundukkan Perak FC 3-0 banyak dibantu oleh keupayaan para pemain mengadaptasi ‘Nafuzi Ball’ yang diterapkan kepada mereka sejak awal musim.

Penolong Ketua Jurulatih KDA, Victor Andrag berkata, tugasnya untuk menggantikan Nafuzi yang digantung tiga perlawanan menjadi mudah disebabkan pemain sudah tahu corak permainan yang perlu ditampilkan mengikut kehendak ketua jurulatih itu.

Justeru katanya, beliau menghargai setiap usaha pemain hingga membolehkan mereka terus meraih tiga mata untuk berada di kedudukan ketiga Liga Super ketika ini.

“Ketiadaan Nafuzi bersama Manuel Ott dalam pasukan ini sememangnya sedikit sebanyak memberi kesan namun saya berterima kasih kepada para pemain kerana meneruskan apa yang dimahukan oleh ketua jurulatih dalam aksi kali ini.

“Segala perancangan dibuat Nafuzi ketika latihan dan kami hanya terjemahkan pada hari perlawanan. Dalam keadaan pemain sudah faham apa yang dimahukan, semua itu memudahkan saya untuk meneruskan peranan di tepi padang selain memastikan apa yang dirancang dilaksanakan dalam permainan,” katanya.

 

Dalam perlawanan malam tadi, Sang Kenari nyata menguasai permainan sejak awal dengan Perak hanya memiliki satu sahaja peluang untuk melakukan percubaan merbahaya ke gawang tuan rumah.

Gandingan Lee Tuck dan Amirbek Juraboev menguasai bahagian tengah dengan kedua-dua mereka saling bergandingan untuk menghasilkan dua gol awal sebelum Willian Lira menambah jaringan buat KDA pada minit ke-66.

Nafuzi dan Ott masing-masing digantung tiga dan dua perlawanan setelah dilayangkan kad merah sewaktu KDA tewas kepada PDRM FC di laman sendiri pada 4 Mac lalu.

Meskipun tampak mendominasi perlawanan dan mencatat kemenangan dalam beberapa aksi dilalui kebelakangan ini, Victor berkata barisan kejurulatihan serta para pemain tetap perlu berusaha untuk memperbaiki beberapa kelemahan dalam tempoh dua minggu liga berehat sebelum bertemu Terengganu.

“Masih ada beberapa kelemahan yang perlu kita perbaiki antaranya ketika bertahan dan berdepan situasi bola mati. Semua itu perlu diperbaiki bagi memastikan kita tidak lagi keciciran mata untuk terus berada dalam kedudukan terbaik liga.

“Tetapi untuk aksi menentang Perak ini, pemain sudah jaringkan tiga gol bagi meraih tiga mata. Jadi, tiada apa lagi yang boleh anda minta dari mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya