MADRID: Gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid akhirnya melengkapkan perpindahan bintang remaja sensasi, Jude Bellingham ke Santiago Bernabeu dengan bayaran yang meletakkannya sebagai pemain termahal Britain.
Bellingham yang menginjak usia 20 tahun pada 29 Jun ini mengikat kontrak enam tahun bersama Real selepas juara Eropah 14 kali itu membayar 115 juta pound (RM674) keseluruhan kepada Borussia Dortmund.
Real membayar 88.5 juta pound (RM519 juta) sebagai yuran pendahuluan, selain beberapa bayaran tambahan yang keseluruhannya bernilai 115 juta pound. Ini menjadikan Bellingham pemain Britain termahal dalam sejarah perpindahan bola sepak dunia.
Sebelum ini, rekod itu dipegang oleh Jack Grealish yang berpindah ke Manchester City dari Aston Villa pada 2021 dengan nilai 100 juta pound (RM586.04 juta).
🌟 @BellinghamJude 🌟#HeyJude pic.twitter.com/FOsl3DQRhP
— Real Madrid C.F. (@realmadrid) June 15, 2023
“Borussia Dortmund menjadi bahagian terbesar dalam hidup saya sepanjang tiga tahun ini. Saya datang ke sini sebagai ‘budak’ lelaki berusia 17 tahun, sekarang saya pergi sebagai lelaki dewasa.
“Ia satu penghormatan untuk memakai jersi anda banyak kali, dalam perlawanan besar mahupun kecil.
“Walaupun saya teruja untuk destinasi selepas ini, saya tidak akan sekali pun melupakan perjalanan karier saya di sini.
“Sekali menjadi Borussia, selamanya Borussia. Selamat maju jaya untuk masa depan anda semua,” kata Bellingham.
Bellingham kini mengikut jejak bintang Britain seperti Laurie Cunningham, Steve McManaman, David Beckham, Michael Owen, Jonathan Woodgate dan Gareth Bale yang pernah menyarung jersi Real. – AGENSI