PETALING JAYA: Semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) perlu menerima hakikat mereka tidak setanding Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terbukti berjaya dalam soal pengurusan dan aksi di atas padang.
Selangor FC yang dikatakan antara pasukan terkuat musim ini juga tumbang 4-0 pada separuh akhir Piala FA, Isnin lalu, maka pasukan mana lagi boleh diharapkan untuk meruntuhkan tembok tebal Harimau Selatan?
Kejayaan menumpaskan Selangor membawa juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu layak ke pentas akhir Piala FA, mereka juga berada di puncak Liga Super 2023 dan dijangka tidak berdepan masalah dalam saingan Piala Malaysia.
Kini harapan untuk menghalang JDT membolot semua piala musim ini terarah kepada Kuala Lumpur City (KL City) apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim , 22 Julai ini.
Bekas jurulatih Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah berkata, kekuatan dan pengurusan sempurna JDT belum mampu ditandingi mana-mana pasukan.
Katanya, tidak keterlaluan jika dikatakan musim 2023 milik JDT kerana mereka mempunyai jurulatih yang baik, selain pasukan yang mampu menggilirkan pemain berkualiti.

“Musim lalu, semua piala JDT sapu bersih dan tahun ini perkara sama akan berlaku. Saya juga percaya rekod yang dilakar Kedah bergelar double treble akan lebur di tangan Harimau Selatan berdasarkan prestasi mereka sekarang.
“Liga M kelihatan suram sebab penguasaan satu pasukan. Pasukan lain sudah tengok siri kejayaan JDT musim lalu tetapi tidak upgrade skuad, hanya suam-suam suku dan sekadar ambil bahagian dalam liga, jadi rebut lah tempat kedua dan ketiga.
“Memang betul, tidak boleh lawan JDT 100 peratus dalam soal fasiliti dan pengurusan tetapi sumber kewangan beberapa pasukan juga boleh tahan, jadi mungkin dalam soal pemilihan pemain import itu boleh pilih yang berkualiti.
“Saya juga lihat tiada satu pun pemilik kelab di Malaysia mampu buat seperti TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Azrai yang juga bekas jurulatih Kedah, Kelantan dan Negeri Sembilan berkata, dalam Liga Super 2023 masih ada kelab dilihat tidak layak bersaing di peringkat tertinggi kerana gagal menguruskan pasukan dengan baik.