PETALING JAYA: Kerajaan terus komited dan memperkukuh setiap langkah bagi melindungi kebajikan rakyat di saat dunia sedang menghadapi krisis tenaga.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara fokus sesi penerangannya bersama Timbalan Menteri, Teo Nie Ching di Kulai pada malam tadi.
“Dalam menghadapi cabaran global, kekuatan kita lahir daripada disiplin, diperkukuh dengan kerjasama, dan disokong oleh keyakinan.
“Insya-Allah, Malaysia akan terus kekal teguh, stabil dan berdaya tahan menghadapi apa jua rintangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi menggesa rakyat untuk memanfaatkan aplikasi PriceCatcher.
“Pada kesempatan ini, kami turut menggesa orang ramai memanfaatkan aplikasi PriceCatcher untuk membuat semakan dan pilihan harga yang lebih bijak,” katanya. – UTUSAN










