JAKARTA: Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir membetulkan persepsi peminat bola sepak negara itu selepas ramai yang menuntut pembayaran balik tiket gara-gara bintang Argentina, Lionel Messi tidak akan menyertai skuad Albiceleste menentang Garuda di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Isnin depan.
Thohir menjelaskan, perlawanan yang bakal dihadapi skuad Indonesia nanti bukanlah ‘Lionel Messi All Star’ sebaliknya skuad kebangsaan Argentina yang memenangi Piala Dunia di Qatar tahun lalu.
Tegasnya, perlawanan tersebut termaktub dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), bermakna ia menawarkan mata ranking dunia.
“Seperti yang saya jelaskan dari awal, ini perlawanan persahabatan antara pasukan kebangsaan Indonesia dan skuad Argentina.
“Jika skuad Indonesia menentang Messi, ia seperti perlawanan skuad kebangsaan dengan Messi All Star.

“Ini adalah hari perlawanan di bawah kalendar FIFA, jadi kita juga mencari mata untuk ranking.
“Jangan disebabkan kita menentang pasukan yang bagus dan lawan mempunyai nama-nama besar, kita tidak membuat persiapan rapi,” kata Thohir yang dipetik dalam CNN Indonesia.
Sebanyak 60,000 tiket yang diperuntukkan untuk perlawanan itu sudah habis terjual, dengan harga sekitar 600,000 Rupiah (RM187) sehingga 4,250 juta Rupiah (RM1,318)
Messi yang kini berada di Beijing bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Australia dilaporkan tidak akan menyertai skuad Albiceleste ke Jakarta kerana mahu berehat.
Kejayaan muncul juara dunia tahun lalu meletakkan Argentina di ranking pertama FIFA, manakala Indonesia sekadar menghuni kedudukan ke-149 dunia. – AGENSI