LONDON: Pep Guardiola berdepan dilema untuk memilih barisan terbaik yang akan diturunkan pada final Manchester pertama dalam sejarah Piala FA di Wembley malam ini.
Pengendali Manchester City itu yang memburu kejuaraan treble perlu mencatur strategi tepat kerana pertemuan dengan Manchester United hanyalah satu daripada dua aksi mega yang akan dihadapi sebelum berdepan Inter Milan dalam final Liga Juara-Juara di Istanbul, 11 Jun ini.
Apakah dia akan memilih penjaga gol kedua, Stefan Ortega yang kerap diturunkan dalam saingan domestik musim ini atau memilih pemain lebih berpengalaman, Ederson yang sering menjadi sandarannya di pentas Eropah.
Tahun lalu, Guardiola melakukan kesilapan apabila menurunkan penjaga gol pelapis, Zack Steffen ketika tewas kepada Liverpool pada separuh akhir Piala FA selepas aksi gemuruh pemain Amerika Syarikat itu menyebabkan mereka ketinggalan 0-3 di babak pertama.
Guardiola amat bersemangat untuk menyamai rekod United sebagai satu-satunya kelab England yang pernah memenangi tiga trofi utama dalam satu musim – Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan Piala FA pada 1999.
Bagi memastikan tiada kesilapan dilakukan dalam memenuhi misi tersebut, dia perlu berhati-hati memilih kesebelasan utama dari penjaga gol, pertahanan, tengah hingga serangan.
“Seperti sebelum ini, kami kena berhati-hati. Kami akan menyediakan yang terbaik kerana ia pertembungan istimewa,” kata Guardiola.

VARANE VS HAALAND
Ketika United menewaskan City di Old Trafford dalam aksi liga (2-1 pada 14 Januari), bek tengah sementara, Luke Shaw menerima banyak pujian kerana berjaya mengekang Erling Haaland. Ia adalah pelan khusus yang dicipta dan berfungsi dengan sempurna.
Begitupun situasi kini berbeza dan pengurus United, Erik ten Hag tidak lagi membuat improvisasi kerana bakat Shaw digunakan dengan lebih baik di bek kiri. Raphael Varane akan memainkan peranan untuk mengekang Haaland, peledak terbanyak Liga Perdana musim ini.
Kekuatan Varane disusun dengan sempurna untuk menghentikan ‘cyborg’ Norway itu. Dia boleh menandingi rentak Haaland, sangat kuat dan mempunyai keupayaan ‘on-ball’ untuk menewaskan tekanan balas City.

CASEMIRO VS DE BRUYNE
Ketika United kalah 6-3 di Etihad (2 Oktober 2022), Casemiro masih bergelut untuk membiasakan diri dengan rentak Liga Perdana dan dibawa masuk dari bangku simpanan menggantikan Scott McTominay.
Kini, bintang Brazil itu dilihat berada di tahap terbaik. Dia mampu melakukan terjahan, memecah permainan, memintas dan membuat hantaran progresif.
Peningkatan Casemiro menjadikan persaingan bahagian tengah sangat menarik dengan City pula memiliki ‘jeneral padang’, Kevin de Bruyne yang memainkan watak besar membawa mereka merangkul gelaran Liga Perdana, mara ke final Liga Juara-Juara dan Piala FA.
OPTA PILIH CITY MENANG 63.4 PERATUS
Pembekal data terkenal, Opta percaya City mempunyai peluang 63.4 peratus untuk memenangi perlawanan jika ia ditamatkan dalam 90 minit berbanding United 16.5 peratus.
Berdasarkan statistik dan analisis kedua-dua pasukan sepanjang musim, dalam semua perlawanan, mereka menjangkakan peluang permainan diheret ke penentuan sepakan penalti adalah 20.1 peratus.