Villa mara bergaya ke final Liga Europa

Villa mara bergaya ke final Liga Europa

PEMAIN Aston Villa meraikan kejayaan mereka mara ke final Liga Europa selepas menewaskan Nottingham Forest agregat 4-1, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIRMINGHAM: Penyerang Aston Villa, Ollie Watkins memuji sentuhan magis pengendali pasukan, Unai Emery selepas berjaya membawa kelab itu mara ke final Liga Europa menerusi kemenangan agregat 4-1 ke atas Nottingham Forest, semalam.

Pada aksi separuh akhir kedua di Villa Park, Villa tampil garang apabila Watkins dan Emiliano Buendia meledak gol awal sebelum dua jaringan John McGinn melengkapkan kemenangan besar tuan rumah.

Kejayaan itu menyaksikan Villa melangkah ke final Eropah pertama mereka dalam tempoh lebih empat dekad dan bakal berdepan wakil Jerman, Freiburg di Istanbul pada 20 Mei ini.

Watkins berkata, pengalaman Emery dalam kejohanan Eropah menjadi faktor utama kebangkitan pasukan itu musim ini.

“Tiada pengurus lebih layak untuk membawa kami ke final selain dia. Rekod dimilikinya membuktikan segala-galanya.

“Kami berada di landasan terbaik, tetapi tugas belum selesai kerana kami mahu menjulang trofi,” katanya.

Emery sememangnya dikenali sebagai pakar Liga Europa apabila pernah memenangi kejohanan itu sebanyak empat kali, termasuk tiga bersama Sevilla dan sekali ketika membimbing Villarreal.

Sementara itu, McGinn menyifatkan pengendali dari Sepanyol itu sebagai individu penting yang berjaya meniup keyakinan baharu dalam skuad Villa.

“Dia mempunyai pengalaman luas dalam aksi besar Eropah dan banyak membantu kami sepanjang kempen ini.

“Malam ini (semalam) antara persembahan terbaik Aston Villa dalam tempoh yang lama,” katanya.

Villa sebelum ini mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan, termasuk tewas 1-0 pada aksi pertama di gelanggang Forest serta kalah 2-1 kepada Tottenham Hotspur minggu lalu.

Bagaimanapun, Watkins menegaskan pasukan itu bangkit dengan semangat baharu demi memastikan impian ke final menjadi kenyataan.

“Selepas kekalahan kepada Tottenham, fokus kami hanya tertumpu kepada perlawanan ini. Semua pemain bekerja keras dan memberikan aksi terbaik,” katanya.

Villa kini berpeluang menamatkan kemarau trofi utama sejak 1996 selain memburu kejuaraan Eropah pertama sejak mengejutkan Bayern Munich dalam final Piala Eropah 1982. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN