PETALING JAYA: Permodalan Nasional Bhd. (PNB) melantik Datuk Rizal Rickman Ramli sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE) yang baharu, berkuat kuasa 1 Julai 2026.
Pelantikan beliau bagi menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad yang bakal bersara daripada pengurus dana terbesar negara itu pada 31 Mei ini, sebelum secara rasmi kembali menerajui Sime Darby Bhd. (Sime Darby) sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif.
Menurut kenyataan PNB, Rizal Rickman yang kini memegang jawatan Timbalan PGCE akan bertindak sebagai Pemangku Presiden bermula 1 Jun ini bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan lancar.
“Pelantikan ini mencerminkan kejayaan perancangan penggantian dalaman PNB. Pengalaman luas beliau selama lapan tahun di PNB amat penting dalam merealisasikan Pelan Strategik LEAP-6 serta merangka pertumbuhan masa hadapan syarikat,” katanya.
Sebelum menyertai PNB pada Mac 2018, Rizal Rickman merupakan Pengurus Rakan Kongsi Negara bagi Boston Consulting Group di Malaysia.
Beliau merupakan pakar dalam pembangunan strategi, inovasi model perniagaan serta transformasi peringkat korporat dan industri.
Sementara itu, makluman kepada Bursa Malaysia mengesahkan Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby berkuat kuasa serta-merta bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Sri Samsudin Osman sejak akhir tahun lalu.
Ia merupakan kepulangan semula beliau ke syarikat konglomerat berkenaan selepas pernah menyandang jawatan yang sama bagi tempoh 2019 hingga 2020.
Abdul Rahman, 56, merupakan tokoh korporat berwibawa yang sebelum ini pernah menerajui organisasi gergasi termasuk Kumpulan CIMB, Ekuinas, Media Prima dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
Pusingan kedua perkhidmatan beliau di PNB menyaksikan pengukuhan fokus strategik dan budaya kecemerlangan organisasi bagi menguruskan aset yang kini mencecah lebih RM300 bilion.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai PGCE PNB bagi tempoh 2016 hingga 2019 sebelum kembali semula ke jawatan tersebut pada Julai 2024.
PNB menerusi dana unit amanahnya kekal sebagai pemegang saham terbesar dalam Sime Darby melalui AmanahRaya Trustees Bhd. (Amanah Saham Bumiputera) dengan pegangan sebanyak 32.4 peratus.
Selain Sime Darby, PNB juga memiliki kepentingan strategik dalam syarikat utama seperti Maybank, SD Guthrie Bhd., Velesto Energy Bhd. dan Duopharma Biotech Bhd.
Lembaga Pengarah PNB turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Abdul Rahman atas kepimpinan beliau yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan PNB sebagai institusi pelaburan utama negara merentas generasi. – UTUSAN










