Musnahnya sebuah keluarga dek racun ideologi ekstrem

Musnahnya sebuah keluarga dek racun ideologi ekstrem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGISAN dan esakan di sudut kamar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada petang 27 April lalu, seolah-olah menutup tirai sebuah tragedi yang bermula dengan fahaman karut, membesar dengan kebencian, lalu berakhir dengan darah dan penjara.

Dua beradik perempuan yang sejak awal prosiding hanya duduk diam memerhati sebagai tertuduh keempat, Mariah, 20 dan tertuduh kelima, Farhah Sobrina, 25, akhirnya gagal menahan sebak sebaik mendengar hukuman dijatuhkan ke atas bapa, ibu dan abang mereka.

Dengan wajah sugul dan mata yang basah, kedua-duanya bangun bergilir-gilir menyalami ahli keluarga sebelum tiga pesalah itu dibawa keluar untuk meneruskan baki hukuman.

Pelukan singkat, genggaman tangan yang erat dan esakan yang tertahan menjadikan ruang mahkamah sunyi seketika.

Satu pemandangan yang cukup menggambarkan bagaimana sebuah institusi keluarga runtuh satu demi satu akibat racun ideologi ekstrem yang dipelihara terlalu lama.

Sejak 1990an, Radin Imran (tertuduh pertama) dan keluarganya yang menetap di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru menjauhkan diri daripada masyarakat setempat dan sering mengasingkan diri.

30 TAHUN PENJARA

Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap bapa dan abang kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan keganasan serta sokongan terhadap kumpulan pengganas Daesh.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh pertama, Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 64, dan tertuduh kedua, Radin Romyullah, 36, selepas mereka menukar pendirian dengan membuat pengakuan salah pada prosiding di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Radin Imran berdepan empat pertuduhan iaitu menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh, memiliki senjata api untuk tujuan aktiviti keganasan serta memiliki bahan bacaan berkaitan kumpulan pengganas tersebut.

Bagi tiga pertuduhan utama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun setiap satu manakala pertuduhan memiliki bahan bacaan pengganas membawa hukuman penjara tiga tahun.

Radin Romyullah yang merupakan anak sulung keluarga itu pula didakwa atas dua pertuduhan iaitu berbaiah kepada pemimpin Daesh dan memiliki cakera keras mengandungi bahan kumpulan pengganas itu, dengan hukuman penjara masing-masing 30 tahun dan tiga tahun.

Ibu penyerang, Rosna Jantan, 61, turut dijatuhkan hukuman penjara empat tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan kepada pihak berkuasa.

Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 17 Mei 2024.

Tarikh sama yang mengorbankan dua konstabel polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, menerusi serangan bersenjata pada pukul 2.30 pagi di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru.

Seorang lagi anggota, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak sebelum penyerang, Radin Luqman, 21, akhirnya ditembak mati dalam insiden tersebut.

DUA ANAK LEPAS, BEBAS

Dalam prosiding sama, dua lagi tertuduh iaitu Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 20, dilepaskan serta dibebaskan daripada pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Sebaik keputusan dibacakan, kedua-dua anak perempuan pasangan itu dilihat memeluk ibu mereka sejurus keluar dari kandang tertuduh sambil menangis teresak-esak sebelum bersalaman dengan bapa dan abang yang hanya mampu membalas dengan wajah tanpa ekspresi.

Sepanjang lima hari sesi perbicaraan, dapat diperhatikan kedua-dua pesalah lelaki ini seperti tiada perasaan, tiada riak wajah sedih, marah mahupun penyesalan.

Wajarlah 30 tahun hukuman penjara sebagai tempoh paling ampuh untuk menjernihkan semula pemikiran yang menyimpang daripada logik akal dan hukum Tuhan.

Mereka kemudian dibawa keluar dari kompleks mahkamah oleh seorang wanita bertopi (kemungkinan ahli keluarga terdekat) meninggalkan kamar bicara yang masih diselubungi suasana pilu.

Ketika membacakan alasan penghakiman ringkas, Hakim Nurulhuda menegaskan kesalahan dilakukan adalah amat serius kerana berkait rapat dengan insiden serangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

Menurut beliau, walaupun pengakuan salah oleh tertuduh menjimatkan masa mahkamah, ia tidak boleh dijadikan alasan mahupun ‘diskaun’ untuk hukuman ringan memandangkan kes tersebut melibatkan ancaman kepada keselamatan negara.

“Insiden di Balai Polis Ulu Tiram menunjukkan bagaimana suatu ideologi yang salah diterjemahkan kepada perlakuan jenayah yang membawa akibat amat tragis,” katanya.

Sepanjang prosiding, pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam yang turut dibantu oleh Norinna Bahadun, Maryam Jamielah Ab Manaf, Lokman Kasim dan Yazid Mustaqim Roslan manakala pembelaan diwakili oleh peguam bela, Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri.

 

 

MITIGASI PEMBELAAN

Pihak pembelaan memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum terhadap Radin Imran, Rosna dan Radin Romyullah atas alasan pertuduhan lebih menjurus kepada elemen ideologi yang menurut mereka masih boleh dipulihkan dalam tempoh pemenjaraan singkat.

Bagaimanapun, Mohamad Mustaffa berhujah kesalahan dilakukan bukan sekadar sokongan pasif atau pemilikan bahan propaganda, sebaliknya menunjukkan komitmen ideologi yang mendalam terhadap kumpulan pengganas Daesh.

Menurut fakta kes, Radin Romyullah pernah berangan-angan membawa seluruh ahli keluarga menaiki van sarat bahan letupan untuk menyerang perbarisan Hari Kemerdekaan dengan mensasarkan anggota keselamatan negara.

Dia turut mengaku memiliki fahaman Salafiyah Jihadiyah yang diterapkan oleh bapanya dan sanggup melancarkan jihad qital (perjuangan bersenjata) terhadap pihak berkuasa yang dianggap melindungi kerajaan taghut.

Pendakwaan turut mendedahkan Radin Imran sering mengkafirkan pihak yang tidak sehaluan dengannya selain aktif menyebarkan ceramah kebencian terhadap kerajaan dan pasukan keselamatan.

Lebih membimbangkan, pada Jun 2014, Radin Imran bersama dua anak lelakinya termasuk pelaku serangan Balai Polis Ulu Tiram didakwa menonton video Daesh di rumah mereka sebelum melakukan bai’ah taat setia kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar al-Baghdadi.

Selepas bai’ah tersebut, tertuduh pertama didakwa secara aktif menerapkan fahaman jihad bersenjata kepada anak-anaknya termasuk mengangkat senjata terhadap pihak berkuasa yang dianggap musuh.

Racun yang bermula di ruang tamu rumah mereka akhirnya menular menjadi tragedi nasional. Meragut nyawa anggota keselamatan, memecahkan sebuah keluarga dan menamatkannya dengan tangisan di kamar mahkamah. -UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×