MANCHESTER: David de Gea telah menandatangani lanjutan kontrak di Manchester United sebelum kelab tersebut menarik balik perjanjian yang sudah dipersetujui.
Penjaga gol itu dikatakan bersetuju dengan syarat-syarat ditetapkan, termasuk mengurangkan gaji semasa 375,000 pound (RM2.2 juta) seminggu, namun United kemudian telah berubah fikiran.
Red Devils telah mengemukakan cadangan baharu kepada pemain berumur 32 tahun itu dengan gaji lebih rendah, sekali gus menyebabkan masa depan De Gea di Old Trafford tidak menentu.
De Gea akan menjadi ejen bebas bermula esok dan dia belum bersetuju dengan tawaran kontrak terbaru kerana mahu memikirkan pilihan untuk meneruskan kariernya.
Perjanjian baharu untuk mengurangkan pendapatan De Gea telah dipersetujui beberapa waktu lalu tetapi Erik Ten Hag tidak yakin untuk mengekalkan bekas pemain Atletico Madrid itu sebagai pemain nombor satu dan lebih suka menandatangani pilihan baharu.
Perbincangan De Gea dan kelab sedang berjalan tetapi dengan beberapa hari sahaja lagi sebelum pemergiannya, ia menimbulkan tanda tanya tentang nasib pemain Sepanyol itu.
De Gea berminat untuk terus bermain secara kerap di peringkat tertinggi tetapi mungkin menyaksikan minitnya berkurangan musim depan dengan Ten Hag terbuka mencari penggantinya.
Sebelum ini, United telah mengadakan rundingan mengenai perjanjian untuk mendapatkan pemain Inter Milan, Andre Onana, sekali gus memberi pilihan pertama yang baharu di pintu gawang kelab itu.
Pengurusan tertinggi United telah bertemu dengan ejen Onana, Albert Botines, minggu lalu untuk perbincangan mengenai perpindahan yang berpotensi, walaupun keputusan muktamad bergantung pada masa depan De Gea.
Onana bermain untuk Inter ketika kelab Serie A tersebut tewas kepada Manchester City dalam final Liga Juara-Juara, dan dia pernah bermain untuk Ten Hag ketika bersama Ajax.

Selain itu, penjaga Porto, Diogo Costa, David Raya dari Brentford dan pemain muda Anderlecht yang dinilai tinggi, Bart Verbruggen juga berada dalam pertimbangan United untuk menjadi pilihan kedua sekiranya De Gea kekal di Old Trafford.
United yakin wang akan disediakan untuk Ten Hag menguatkan skuadnya pada musim panas ini walaupun proses pengambilalihan kelab berkenaan masih berjalan.
Kemas kini kewangan suku ketiga kelab itu yang dikeluarkan semalam, menunjukkan unjuran pendapatan tahun ini meningkat kepada rekod 640 juta pound (RM3.8 bilion).
Peraturan kewangan ‘Fair Play’ akan menjadi satu-satunya halangan mereka kerana Ten Hag berusaha mengukuhkan pasukannya dengan penyerang tengah, pemain tengah dan penjaga gol baharu.
Mereka dipercayai diberikan bajet sekitar 120 juta pound (RM713 juta) dan angka tersebut mungkin menentukan siapa yang akan menjadi tonggak dalam kempen United seterusnya. – AGENSI