KOTA BHARU: Kekecewaan yang dirasai pemain ke-12 Kelantan FC amat terserlah apabila hanya segelintir penyokong sanggup turun ke Stadium Sultan Muhammad IV untuk menonton perlawanan mereka.
Malah, saki-baki penyokong yang masih setia bersorak buat The Red Warriors (TRW) mengakui, semangat mereka semakin pudar bukan sahaja kerana siri kekalahan yang dialami tetapi juga pelbagai isu luar padang yang menyelubungi bekas juara liga itu.
Rata-rata penyokong ketika ditemui Utusan Malaysia mengakui, tidak lagi merasai aura Gomo Kelate Gomo dan This Is Kota Bharu yang seringkali menggegar serta menggamatkan stadium keramat rakyat Kelantan suatu ketika dahulu.
Noradnan Mat Zain, 51, antara penyokong setia Kelantan FC berharap pasukan kesayangannya itu dapat ‘diselamatkan’ sebelum musim 2023 berakhir selepas menghuni tangga tercorot Liga Super ketika ini dengan hanya mengutip empat mata.

“Prestasi TRW semakin merudum dan harap ia dapat diperbaiki untuk membolehkan kita terus bersaing dalam Liga Super. Sebagai penyokong, saya kecewa melihat mutu permainan Kelantan FC sekarang.
“Saya sudah lama menyokong TRW dan boleh dikatakan aura Gomo Kelate Gomo dan This Is Kota Bharu sudah tidak dirasai tahun ini. Bagaikan sudah tidak wujud lagi… sudah mati,” katanya.
Noradnan mengakui, prestasi ditunjukkan Kelantan FC ketika ini jauh berbeza dengan skuad yang pernah mengangkat nama negeri itu, terutama kejuaraan treble – Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012.
“Sejujurnya hati sudah tawar untuk menyaksikan aksi TRW tetapi saya gagahkan juga untuk ke stadium demi rasa sayang kepada pasukan.
“Bagaimanapun, ini bukan TRW yang pernah saya kenali dan harap masih ada sinar untuk pasukan ini,” katanya.

Seorang lagi penyokong, Romaizai Yusof, 53, mengakui, kedudukan Kelantan FC kini sangat menyedihkan dan tidak dapat dipastikan apakah mereka mampu kembali mendaki tangga Liga Super atau terus kekal di dasar liga.
“Tak tahu nak kata apa. Prestasi yang ditonjolkan ketika ini sangat jauh berbeza berbanding pasukan Kelantan yang pernah dikenali dahulu.
“Jauh lebih seronok menyaksikan corak permainan TRW dahulu berbanding sekarang.
“Saya tetap setia menyaksikan perlawanan di stadium, cuma sekarang tak tahu nak rasa apa lagi.
“Yang pasti kecewa dan harap prestasi TRW dapat kembali seperti era kegemilangannya dahulu,” katanya.
Katanya, tiada cara lain bagi pasukan kesayangan rakyat Kelantan itu untuk kembali gemilang selain mencari barisan pemain lebih berkualiti terutama pemain-pemain import.
“Saya akui aura Gomo Kelate Gomo dan This Is Kota Bharu sudah tidak dapat dirasai lagi tetapi saya tidak mahu putus harap. Saya percaya ia masih ada dan dapat dihidupkan kembali,” ujarnya.