PARIS: Pemain No. 1 dunia, Carlos Alcaraz mengakui, perasaan gemuruh dan perlawanan yang tegang punca dia mengalami kekejangan sebelum kalah kepada Novak Djokovic pada separuh akhir tenis Terbuka Perancis awal pagi tadi.
Bintang muda Sepanyol berusia 20 tahun itu berjaya bangkit dari ketinggalan di set pertama sebelum merasakan semua serba tidak kena ketika memasuki set ketiga
Dia akhirnya tumbang 3-6, 7-5, 1-6, 1-6 sekali gus menyaksikan Djokovic mara ke final Terbuka Perancis buat kali ketujuh.
Pada usia 36 tahun, Djokovic muncul pemain lelaki tertua dalam tempoh 93 tahun mara ke perlawanan akhir, di mana dia akan memburu kejuaraan Roland Garros ketiga dan berpeluang mencipta rekod Grand Slam ke-23.
Bintang Serbia itu kini akan berdepan jaguh Norway, Casper Ruud yang melangkah ke final selepas menundukkan Alexander Zverev 6-3, 6-4, 6-0.
Alcaraz seems to be cramping in the third set 👀
Djokovic came to check on him ❤️#RolandGarros pic.twitter.com/SmJ73P233h
— Eurosport (@eurosport) June 9, 2023
“Ia (kekejangan) berpunca daripada perlawanan yang sangat tegang.
“Saya memulakan permainan dengan amat gementar. Saya berasa tegang di set pertama dan set kedua. Ia dua set yang sangat sengit,” kata Alcaraz.
Drama separuh akhir berlaku ketika Djokovic menyamakan kedudukan 1-1 di set ketiga dengan Alcaraz kelihatan bergelut bagi menyesuaikan diri dalam keadaan panas 33 darjah celcius di Paris.
Alcaraz, 16 tahun lebih muda daripada Djokovic kemudian mengalami kekejangan di bahagian betis kanan.
“Nasib yang sukar dan tidak menyebelahi Carlos, perkara terakhir yang anda mahukan ketika beraksi ialah kekejangan. Saya merasai apa yang dilaluinya dan berharap dia pulih seterusnya kembali tidak lama lagi.
“Saya menghormatinya yang berjuang sehingga ke akhir. Saya memberitahunya bahawa dia masih muda dan dia akan menang berkali-kali,” kata juara 2016 dan 2021, Djokovic. – AGENSI