PETALING JAYA: Seorang lagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sedia ‘menghadap’ Lembaga Disiplin susulan penglibatannya dalam Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin, baru-baru ini.
Datuk Rosol Wahid berkata, beliau sedar akan kesan yang bakal dihadapinya selepas hadir ke program tersebut walaupun arahan menghalang menyertai himpunan membabitkan bekas ahli telah dikeluarkan sebelum itu.
“Saya bersedia jika dipanggil Lembaga Disiplin atas tindakan itu (menyertai program Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin). Saya tiada masalah untuk menghadap (mereka) pada bila-bila masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, sehingga kini beliau masih belum dipanggil oleh mana-mana pihak termasuk Lembaga Disiplin atas tindakannya ‘melanggar’ arahan dikeluarkan parti.
“Buat masa ini tak ada mana-mana pihak menghubungi saya berkaitan kehadiran ke program tersebut. Jadi kita tunggu sajalah,” katanya.
Rosol yang dilihat cenderung menyokong Hamzah ketika ditanya mengenai kedudukannya sebagai MPT dan Ketua Bahagian Bersatu Hulu Terengganu berkata, beliau mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’.
“Kita tunggu dan lihat. Semua bergantung kepada tindakan yang akan diambil parti mengenai isu kehadiran ke program Datuk Seri Hamzah sebelum ini,” katanya.
Seramai 19 ahli Parlimen dari Bersatu didapati hadir pada program berkenaan yang diadakan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya.
Sehari sebelum itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengeluarkan peringatan tegas supaya ahli Bersatu tidak terbabit sebarang bentuk perjumpaan dan perhimpunan yang dianjurkan individu dipecat parti itu.-UTUSAN.










