Zii Jia, Jin Wei minta tempoh seminggu

Zii Jia, Jin Wei minta tempoh seminggu

LEE Zii Jia gagal melapor diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini susulan mengalami kecederaan ringan. - UTUSAN/AIZAWATI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei meminta tempoh seminggu lagi sebelum membuat keputusan menyertai skuad Piala Thomas/Uber yang akan berlangsung pada 29 April ini di Horsens, Denmark.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, setakat ini rundingan tersebut berjalan lancar dan kedua-dua pemain itu memerlukan masa bagi membuat keputusan selepas mengambil kira tahap kecergasan masing-masing terutamanya Zii Jia.

“Kita telah berbincang dengan Zii Jia dan Jin Wei serta jurulatih, Liew Daren. Mereka akan bagi maklum balas dalam tempoh seminggu dan rundingan itu berjalan lancar.

“Cuma yang menjadi kebimbangan adalah keadaan kecederaan Zii Jia kerana dia masih belum 100 peratus sembuh. Zii Jia telahpun tarik diri daripada Terbuka Jerman (24 Februari-1 Mac) dan dijangka sertai Terbuka Switzerland (10-15 Mac),” katanya di sini, semalam.

Menurut bekas bintang badminton No. 1 dunia itu, pihaknya akan meminta sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi membantu Zii Jia, agar dia dapat kembali pulih seperti sedia kala.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan Zii Jia bagi skuad Piala Thomas, beliau berkata, skuad kebangsaan memerlukan pengalaman yang ada pada anak jati Kedah itu kerana dia pernah beberapa kali beraksi pada kejohanan dwi tahunan tersebut.

“Saya harap dia dapat sertai pasukan. Saya rasa pasukan sentiasa mengalu-alukan kehadiran Zii Jia ke dalam skuad Piala Thomas. Saya yakin penyertaan dia akan bagi semangat dekat rakan sepasukan yang lain,” ujarnya.

Jelas Chong Wei, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen sememangnya mahukan Zii Jia dan Jin Wei berada dalam pasukan kerana yakin kehadiran kedua-dua pemain itu mampu membantu skuad negara mencatur strategi yang lebih baik.

“Kita mahu pasukan kita seimbang untuk perseorangan, seperti Zii Jia dia boleh main selaku perseorangan kedua atau ketiga dan Kenneth ada cakap jika Zii Jia ada, pasukan kita lebih mantap,” katanya yang turut mengesahkan skuad negara akan menyertai kem latihan di Denmark selama 10 hari.

Ketika ditanya pula bayangan mengenai senarai akhir skuad Piala Thomas dan Uber, beliau berkata, Malaysia sering hadir dengan kekuatan seimbang iaitu empat pemain perseorangan dan tiga beregu.

“Seingat saya kita tak pernah bawa sampai lima pemain perseorangan, biasanya Piala Thomas/Uber kita akan bawa tiga beregu, jadi, untuk perseorangan, empat pemain akan di bawa ke Denmark,” katanya.

Bercakap tentang pemilihan Jin Wei pula, katanya, keputusan itu merupakan kemahuan Jonnassen sendiri yang mana jurulatih tersebut melihat kehadiran Jin Wei sebagai perseorangan ketiga bakal mengukuhkan pasukan Piala Uber.

Sementara itu, Zii Jia enggan mengulas lanjut mengenai pertemuannya dengan Chong Wei dan Jonassen di ibu pejabat BAM, semalam, dan hanya mengesahkan perjumpaan tersebut bersangkut paut dengan Piala Thomas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN