Sureeya cipta kejutan, Sharmendran pertahankan kejuaraan

Sureeya cipta kejutan, Sharmendran pertahankan kejuaraan

Sureeya memeluk ibu sambil disaksikan oleh bapanya yang hadir menyaksikan perlawanannya di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, Phnom Penh semalam.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAM ZAMRI
[email protected]

PHNOM PENH: Usianya baru sahaja menginjak 21 tahun, namun atlet karate negara, H Sureeya Sankar mempunyai watak sang juara apabila berjaya memenangi pingat emas pertamanya di Sukan SEA Kemboja 2023 bagi acara kumite individu lelaki bawah 60 kilogram (kg) semalam.

Ia kejayaan yang cukup membanggakan apabila Sureeya berjaya menewaskan penyandang pingat emas edisi lalu di Hanoi, Ari Saputra dari Indonesia dengan keputusan 13-5.

Lebih manis, Sureeya berjaya melakar kejayaan ini dihadapan kedua ibu bapanya yang turut hadir menyaksikan perlawanannya yang diadakan di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, Phnom Penh.

“Emas ni sungguh bermakna buat saya kerana saya pernah tewas kepadanya (Ari Saputra) di SEAKF (Kejohanan Karate Asia Tenggara) Mac lalu dengan keputusan 4-1.

“Saya tahu tendangan saya bagus, jadi saya gunakan itu sebagai senjata, lebih-lebih ketika menuju 30 saat terakhir apabila dia semakin merapatkan jurang mata dengan saya.

“Saya pernah diberitahu saya bukanlah yang terkuat ketika saya mengambil keputusan untuk bertukar ke kategori ini daripada kategori saya sebelum ini, 67kg, jadi saya buktikan saya boleh jadi yang terpaling kuat,” jelas Sureeya.

Kejayaan skuad negara diteruskan R.Sharmendran dalam acara kumite 75kg yang berhadapan dengan peserta tuan rumah, Sot Phanith.

R.Sharmendran (kiri) melepaskan tumbukan terhadap peserta tuan rumah, Sot Phanith.

Atlet berusia 30 tahun ini menunjukkan kekuatan mental yang cukup kuat apabila bukan sahaja berdepan tekanan tinggi ketinggalan di awal pertarungan, namun turut berdepan perang psikologi lawan apabila pertarungan dihentikan seketika oleh pihak pengadil kerana baju yang dipakai Phanith terkoyak.

Bagaimanapun, dia mengekalkan ketenangan untuk cuba mencari satu demi satu mata sebelum memastikan dia membawa pulang pingat emas dengan keputusan 6-5.

Keputusan ini menyaksikan Sharmendran mengekalkan pingat emas yang dimenangi untuk empat edisi berturut-turut Sukan SEA Kuala Lumpur 2023.

“Saya hampir-hampir terlepas (pingat emas), tetapi saya cuba dapatkan balik. Saya tak pernah katakan ini kepada umum, tetapi saya berterima kasih kepada dia (Hatta Mahmud, bekas kapten skuad karate negara) kerana dia memang menjaga saya ketika saya bermula dahulu dan tiada apa.

“Ini merupakan perlawanan akhir yang cukup sengit sepanjang saya beraksi di Sukan SEA tetapi manis kerana bukan sahaja saya pertahankan pingat emas, tetapi saya juga dipilih sebagai pembawa Jalu Gemilang serta kejutan daripada ibu saya (menyerahkan Jalur Gemilang ketika upacara penyerahan bendera kontinjen Malaysia,” jelas Sharmendran.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.