IPOH: Jika niat nak buat kecoh lebih baik jangan datang ke Stadium.
Begitu nasihat Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi kepada penyokong Bos Gaurus berikutan pergaduhan yang berlaku antara penyokong Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak, Sabtu lalu.
Berikutan kejadian yang berlaku di tempat duduk penonton ketika perlawanan sedang berlangsung, empat orang ditangkap polis dan dihadapkan ke mahkamah.
Tiga berusia antara 20-26 tahun masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Pada prosiding di mahkamah sama, seorang lagi tertuduh iaitu remaja lelaki bawah umur berusia 17 tahun lapan bulan turut mengaku bersalah bagi pertuduhan sama.
Mahkamah kemudian membenarkan remaja itu diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bercagar dalam kalangan ibu bapa atau penjaga.
Hakim turut menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengulas lanjut, Pengerusi XOX Berhad itu berkata kelab itu malu dengan kejadian yang berlaku
“Kita nakkan orang datang stadium berasa selamat dan datang dengan ahli keluarga, anak-anak dan sebagainya..
“Begitupun jika ada nak merusuh dan buat kacau lebih baik jangan masuk stadium,” kata Azim .
Berikutan itu Perak FC dijangka juga dikenakan tindakan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Kita rugi besar kerana kena bayar denda sedangkan sudah mengeluar belanja besar bagi mengadakan perlawanan itu,” katanya