Lelaki Vietnam didakwa miliki hempedu, lidah ular sawa bernilai RM1.03 juta

Lelaki Vietnam didakwa miliki hempedu, lidah ular sawa bernilai RM1.03 juta

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warganegara Vietnam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menyimpan 1,022 hempedu dan 191 lidah ular sawa bernilai RM1.03 juta, Sabtu lalu.

Tertuduh, Hoang Van Thai, 39 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Vietnam di hadapan Hakim, Madihah Zainol.

Hukuman terhadap tertuduh bagaimanapun ditangguhkan pada 15 April depan bagi mendapatkan pengesahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berhubung status pemastautin di negara ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menyimpan 1,022 hempedu ular sawa dan 191 lidah haiwan sama yang merupakan hidupan liar dilindungi dibawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa lesen di Taman Johor Jaya di sini pada pukul 9.50 malam, 4 April lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 60(1)(b) dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 60(1) Akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjaga tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu semasa prosiding, Pegawai Undang-Undang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mas Izzaty Lokman meminta mahkamah memberikan jaminan RM40,000 terhadap setiap pertuduhan.

“Jaminan tinggi wajar memandangkan keseriusan kes ini dimana siasatan awal mendapati ia melibatkan satu aktiviti terancang dan tidak dilakukan secara bersendirian, selain melibatkan jumlah rampasan tinggi,” katanya.

Peguam mewakili tertuduh, Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly bagaimanapun meminta mahkamah memberikan jaminan lebih rendah susulan tertuduh mempunyai isteri dan dua anak untuk ditanggung.

“Tertuduh bekerja sebagai pemandu syarikat pembinaan dengan pendapatan RM3,000 sebulan, selain turut mengambil upah menghantar produk sarang burung dengan pendapatan tambahan kira-kira RM4,000 sebulan,” katanya.

Mahkamah kemudian meminta pendakwaan mendapatkan pengesahan status pemastautin tertuduh susulan pas dikemukakan adalah sebagai pengiring anak yang belajar di sekolah antarabangsa di sini dan bukan menggunakan pas kerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN