Badan Peguam mohon cabar keputusan NFA Ahmad Zahid

Badan Peguam mohon cabar keputusan NFA Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Badan Peguam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkait penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Permohonan bagi mendapatkan kebenaran itu difailkan pada 7 April lalu iaitu sehari sebelum pendengaran rayuan badan itu terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang menolak permohonan mereka mendapatkan kebenaran untuk mencabar perintah lepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang diberikan kepada Ahmad Zahid bagi pertuduhan sama.

Rayuan berhubung DNAA itu bersambung Rabu depan (15 April).

Dalam permohonan semakan kehakiman yang terbaharu, Badan itu menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden pertama dan kedua.

Menurut penyataan yang difailkan, Badan Peguam antara lain memohon agar keputusan NFA yang dibuat pada 8 Januari lalu diisytiharkan sebagai tidak sah, terbatal dan Peguam Negara telah mengambil tindakan tersebut dengan melangkaui bidang kuasanya.

Badan itu turut memohon agar Ahmad Zahid didakwa semula atas 47 pertuduhan tersebut.

Selain itu, Pemohon memohon satu perintah mandamus (memaksa) Peguam Negara untuk memberikan segala maklumat, dokumen, alasan, asas dan butiran yang dirujuk oleh responden pertama dalam mencapai keputusan NFA tersebut.

Turut dimohon ialah relif-relif lain yang difikirkan sesuai dan tiada sebarang perintah dibuat berhubung kos.

Pada 8 Januari lalu, AGC dalam satu kenyataan memutuskan NFA terhadap kesemua pertuduhan Ahmad Zahid sekaligus membawa kepada penamatan muktamad kes terbabit.

Keputusan NFA itu dibuat selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

AGC menegaskan keputusan tersebut dibuat berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan sistem keadilan jenayah.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pihak AGC telah merujuk keputusan DNAA bertarikh 4 September 2023, menjalankan siasatan lanjut dan terperinci merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.

“Selepas meneliti keseluruhan bahan serta keterangan baharu diperoleh hasil siasatan lanjut dan penelitian terbabit, AGC berdasarkan penilaian serta pertimbangan pendakwaan, mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi semua pertuduhan berkenaan,” ujar kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN