KUALA LUMPUR: Tuan rumah menggunakan atlet naturalisasi, kebergantungan kepada atlet senior, isu dalaman dan silap strategi antara punca kontinjen negara hilang 12 pingat emas dalam Sukan SEA Kemboja.
Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, 12 emas itu membabitkan renang, badminton, basikal bukit, hoki dalam dewan, kriket, judo, jujitsu, kun khmer dan sepak takraw.
“Bagi kriket dan judo atlet kita berada pada tahap terbaik, namun tuan rumah menggunakan ramai naturalisasi. Kriket misalnya kita ranking pertama dan hanya perlu waspada dengan Thailand tetapi kita tidak dapat maklumat tuan rumah menggunakan atlet naturalisasi.
“Ia menjejaskan peluang kita, sedangkan tuan rumah menggunakan pemain yang bagus (berkualiti) dari Pakistan dan India.
“Memang dibenarkan penggunaan atlet naturalisasi dalam Sukan SEA tapi kalau dapat maklumat awal, mungkin kita mampu rangka strategi lebih baik,” katanya.

Persatuan Kriket Malaysia sebelum ini menyelar Kemboja kerana menyenaraikan 13 ‘import’, malah mempersoalkan tindakan mereka hanya membawa masuk pemain-pemain itu pada 23 April.
Tambah Jefri, renang antara sukan yang mengecewakan apabila hanya meraih sebutir emas menerusi Khiew Hoe Yean yang mempertahankan gelaran 200 meter gaya bebas lelaki.
“Renang kita letak sasaran tiga emas tetapi hanya raih satu disebabkan kita terlampau bergantung kepada atlet senior yang sudah beraksi di tiga hingga empat Sukan SEA. Sebagai contoh Phee Jinq En sudah lima kali berturut-turut mengambil bahagian di temasya ini.
“Kita harus dedahkan ramai atlet baharu yang mampu memberi harapan,” katanya.

Bagi badminton, jurang ranking pemain negara dengan Indonesia sangat jauh.
“Kita cuba buktikan bakat baharu yang diketengahkan mampu bersaing dan bagi acara individu ada pemain kita yang dapat mengejutkan Indonesia,” katanya.
Sementara itu kata Jefri, isu gangguan seksual yang melibatkan pasukan berbasikal bukit turut memberi kesan kepada skuad negara.
Pasukan campuran negara yang meraih emas merentas desa di Hanoi tahun lalu gagal mempertahankan kejuaraan.
Mengulas mengenai, emas hoki dalam dewan lelaki yang terlepas ke tangan Indonesia, ia berpunca daripada kelemahan pertahanan sama seperti peristiwa final Sukan Asia 2018 ketika hoki negara tumpas kepada Jepun.