Zi Yu-Noraqilah selamatkan maruah Malaysia

Zi Yu-Noraqilah selamatkan maruah Malaysia

Gandingan yang menghuni ranking No. 143 dunia itu menggalas cabaran sebagai beregu kedua melakar kemenangan straight set ke atas Yaseman Bektas-Zehra Erdem 21-18, 21-19 dalam masa 44 minit. - IHSAN FACEBOOK BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia hampir diaibkan dan terpaksa menanti ihsan daripada beregu remaja, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan yang menghadiahkan mata kemenangan 3-2 ke atas Turki dalam aksi pembukaan Kumpulan B pada Kejohanan Badminton Piala Thomas/Uber 2026 di Horsens, Denmark, hari ini.

Gandingan yang menghuni ranking No. 143 dunia itu menggalas cabaran sebagai beregu kedua melakar kemenangan straight set ke atas Yaseman Bektas-Zehra Erdem 21-18, 21-19 dalam masa 44 minit.

Dua lagi mata disumbangkan oleh wakil perseorangan, K. Letshanaa dan Goh Jin Wei yang menewaskan lawan masing-masing dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Letshanaa yang merupakan pemain No. 34 dunia dipaksa beraksi sehingga ke set penentuan sebelum menjelmakan mata pertama Malaysia dengan kemenangan ke atas pemain No. 30 dunia, Neslihan Arin 21-16, 13-21, 21-13 dalam masa 58 minit.

Bagaimanapun, Turki berjaya mengikat Malaysia dengan kedudukan 1-1 selepas pemain No. 38 dunia, Wong Ling Ching dikejutkan Ozge Bayrak yang menghuni ranking ke-78 dunia 17-21, 21-15, 18-21 dalam masa 1 jam 7 minit.

Goh Jin Wei yang menjadi pertaruhan Malaysia selaku perseorangan ketiga, menggalas tanggungjawabnya dengan baik apabila kembali meletakkan skuad wanita di depan dengan keputusan 2-1.

Pemain ke-54 dunia itu mengetepikan Zehra Erdem 21-14, 21-13 dalam masa 31 minit.

Jin Wei ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaikinya, walaupun dia muncul sebagai pemenang dalam pertemuan tadi.

“Saya cuba hadirkan permainan terbaik dan bersedia menggalas tanggungjawab tanpa mengira di mana kedudukan saya diletakkan,” katanya.

Malaysia yang kehilangan khidmat bintang No. 2 dunia, Pearly Tan akibat kecederaan belakang, gagal mengutip mata kemenangan menerusi pasangan pecah ganding, Ong Xin Yee-M. Thinaah.

Pasangan itu yang diletakkan sebagai beregu pertama Malaysia tewas kepada gandingan No. 25 dunia, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci dalam pertarungan sengit 22-20, 19-21, 19-21 yang memakan masa selama 1 jam 9 minit.

Kegagalan tersebut sekali gus meninggalkan tanggungjawab berat kepada wakil terakhir yang turun ke gelanggang, Zi Yu-Noraqilah bagi memburu mata kemenangan ke atas Turki selepas diikat dengan kedudukan 2-2.

Seandainya Malaysia tumbang di tangan Turki tadi, harapan untuk melangkah lebih jauh iaitu ke peringkat kalah mati boleh dikatakan sudah tertutup kerana pasukan gergasi, Jepun menjadi lawan skuad negara dalam perlawanan terakhir Kumpulan B. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN