PETALING JAYA: Merujuk kepada insiden yang berlaku di Stadium Perak, Ipoh semalam selepas tamat perlawanan antara Perak dan JDT, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) ingin meluahkan rasa kecewa dengan cara pengendali tuan rumah, Datuk Lim Teong Kim dalam menjawab soalan.
Sebagai seorang jurulatih yang memiliki pengalaman luas di pentas Eropah, beliau seolah ‘acuh tak acuh’ dalam menjawab dua soalan mudah penolong penerbit siaran langsung itu.
Terdahulu, Teong Kim membuat isyarat seolah-olah tidak dengar pertanyaan tersebut sebanyak tiga kali sebelum menjawab dengan meminta penolong penerbit siaran langsung itu membuat penilaian sendiri daripada apa yang disaksikan sepanjang perlawanan.
“Body language serta cara beliau berdepan dengan media untuk dua soalan ringkas itu amat negatif pada pandangan SAM.
“Rakan media faham situasi dan emosi jurulatih selepas mengalami kekalahan besar, tetapi kami hanya menjalankan tugas kami.
🤔#DemiLigaKita pic.twitter.com/v78Ygj8i7T
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) April 4, 2023
“Janganlah menjadikan media sebagai tempat untuk melepaskan geram kerana kami tidak mencampuri sebarang urusan dalam pasukan anda dan tidak mempunyai sebarang agenda peribadi.
“Media berperanan untuk menyampaikan maklumat dan tidak seharusnya menerima layanan seperti yang berlaku semalam,” kata Presiden SAM, Norismadi Abdul Manap dalam satu kenyataan hari ini.
Sekali lagi SAM menyatakan kekecewaan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Teong Kim dalam usahanya mencari kemenangan dalam perlawanan akan datang. – UTUSAN ONLINE