IPOH: Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuang, Chemor Isnin lalu.
Bagaimanapun, pendakwaan ke atas Myo Naing Soe, 37, ditangguhkan berikutan tertuduh tidak memahami pertuduhan dalam bahasa Melayu dan Majistret S. Punitha kemudian menetapkan 25 November depan untuk tarikh sebutan semula.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan tiada jaminan ditawarkan terhadap lelaki itu berikutan tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Menerusi laporan media pada 29 September lalu, seorang wanita warga Myanmar berusia 28 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh rakannya di sebuah rumah di Kampung Kuala Kuang, Chemor pada pukul 12.30 tengah hari. – UTUSAN










