PONTIAN: Stesen Janakuasa Tanjung Bin milik Malakoff Corporation di sini terbakar kira-kira jam 8 malam tadi, mencetuskan suasana cemas apabila api marak dengan kepulan asap tebal kelihatan di udara.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Johor menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 malam sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pontian, Pekan Nanas serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Benut ke lokasi.
Komander Operasi, PBK I KUP Mohamad Hasnan Abd Rahman dari BBP Pontian Baru berkata, sebaik pasukan tiba di tempat kejadian, didapati kebakaran membabitkan struktur Flue Gas Desulfurization (FGD) bersaiz 74.60 meter panjang, 7.20 meter lebar dan 79.28 meter tinggi dengan kemusnahan dianggarkan 70 peratus.
“Kebakaran turut merebak ke bahagian terowong cerobong asap (chimney) berdiameter tiga meter setinggi kira-kira 200 meter. Tiada pekerja dilaporkan cedera.,” katanya.
Menurutnya, operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor di kiri dan kanan kawasan terbakar. Tindakan itu turut disokong Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Janakuasa Tanjung Bin seramai 10 anggota dan enam anggota dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Selepas hampir dua jam, api berjaya dikawal sepenuhnya pada 9.46 malam, namun operasi penuh hanya ditamatkan pada 3.20 pagi. Kerja-kerja pemantauan lanjut diserahkan kepada ERT Tanjung Bin dengan kerjasama pihak pengurusan Malakoff Corporation.
Sementara itu, PPgB Pontian Baru, Mahadzir Mamat berkata, punca kejadian masih dalam siasatan forensik Kebakaran JPBN Johor dan mereka telah tiba pagi ini bagi menjalankan siasatan. – UTUSAN










