SIDOARJO: Angka korban insiden runtuhan sekolah berasrama penuh di Sidoarjo, Indonesia meningkat kepada lapan orang pada Jumaat, ketika pasukan penyelamat meneruskan pencarian puluhan lagi mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.
Bangunan bertingkat yang menempatkan sekolah itu runtuh secara tiba-tiba pada Isnin lalu ketika para pelajar berkumpul untuk menunaikan solat Asar. Tragedi itu menyebabkan usaha mencari dan menyelamat dilancarkan segera.
Menurut Pengarah Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional, Yudhi Bramantyo, dua mayat pelajar lelaki ditemukan pada Jumaat di kawasan tempat wuduk, dipercayai terkena runtuhan.
“Jadi jumlah korban yang telah ditemukan setakat ini adalah tujuh orang,” katanya kepada pemberita.
Namun, Ketua Pejabat SAR Surabaya, Nanang Sigit kemudian memaklumkan satu lagi mayat ditemukan di bawah runtuhan tidak jauh dari lokasi penemuan sebelumnya, menjadikan jumlah korban keseluruhan meningkat kepada lapan orang.
Sebelum penemuan itu, pihak berkuasa melaporkan seramai 59 orang masih dipercayai hilang dan dikhuatiri tertimbus. Keluarga mangsa dilaporkan menunggu dalam keadaan cemas di sekitar kawasan kejadian.
Siasatan awal mendapati kemungkinan besar punca kejadian adalah disebabkan oleh kualiti pembinaan bangunan yang tidak memenuhi piawaian. Namun siasatan penuh masih dijalankan oleh pihak berkuasa.
Operasi menyelamat berdepan cabaran kerana sebarang gegaran di satu kawasan boleh menyebabkan pergerakan struktur di kawasan lain. Justeru itu, keluarga mangsa bersetuju untuk membenarkan penggunaan jentera berat bermula Khamis.
Sebuah kren telah dikerahkan bagi membersihkan runtuhan, dan lebih banyak peralatan berat dijangka digunakan bagi mempercepat operasi memandangkan tempoh kritikal 72 jam untuk menyelamatkan mangsa hidup telah pun berakhir.
Usaha menyelamat turut terjejas seketika susulan gempa bumi yang berlaku lewat malam Selasa, menyebabkan operasi terpaksa dihentikan buat sementara waktu.










