Sudah tersingkir di Europa, jangan gagal menang EPL

Sudah tersingkir di Europa, jangan gagal menang EPL

PEMAIN Arsenal kecewa selepas disingkirkan oleh Sporting Lisbon menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi kedua, pusingan 16 akhir Liga Europa di Stadium Emirates, London semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Selepas disingkirkan oleh Sporting Lisbon dalam Liga ­Europa semalam, pe­ngendali Arsenal, Mikel Arteta mahu ­pasukannya memastikan musim mereka tidak menjadi lebih buruk dengan menutup kempen bersama trofi Liga Perdana inggeris (EPL).

Beraksi di depan penyokong sendiri di Emirates, Gunners seri 1-1 dengan Sporting sehingga tamat masa tambahan untuk mengheret perlawanan kedua, pusingan 16 akhir itu ke penentuan sepakan penalti selepas terikat 3-3 secara agregat.

Penjaga gol Sporting, Antonio Adan menyelamatkan sepakan Gabriel Martinelli dan Nuno Santos meledak gol kemena­ngan gergasi Portugal itu untuk membawa mereka ke suku akhir.

Arsenal sudah tersingkir dari Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga, bermakna menjulang kejuaraan Liga Perdana pertama sejak 2004 adalah satu-satunya harapan mereka untuk menutup musim dengan trofi.

Ketika saingan berbaki 11 ­perlawanan untuk ditamatkan, Arsenal mengungguli liga ­dengan 66 mata, lima mata ­mengatasi juara bertahan, Manchester City.

PEMAIN Sporting Lisbon meraikan kejayaan menumpaskan Arsenal di Emirates.

“Ia satu tamparan hebat apabila tersingkir dari saingan Eropah, namun kekalahan ini juga telah menjelaskan kedudukan Arsenal musim ini.

“Kami akan mengharungi 11 perlawanan Liga Perdana, bermula dengan menentang ­Crystal Palace (esok).

“Sekarang, itu sahaja harapan kami, jadi pemain perlu fokus dan memberi sepenuh tenaga dalam aksi liga.

“Kami perlu belajar daripada kekalahan ini, paling penting adalah reaksi, komitmen dan kualiti yang ditunjukkan pasukan,” kata Arteta.

Dalam aksi semalam, Arsenal bermula langkah kanan de­ngan mendahului menerusi Granit Xhaka pada minit ke-19, namun Sporting menyamakan kedudukan menerusi gol jarak jauh Pedro Goncalves pada minit ke-78.

“Kami tidak berada pada tahap terbaik dalam 75 minit pertama malam ini, pemain banyak membuang bola dan tidak menguasai permainan. Kami tidak cukup ­bagus,” kata Arteta. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya