Pahit untuk Kedah, manis buat PDRM

Pahit untuk Kedah, manis buat PDRM

Fadzrul Danel Nizam berjaya melepasi kawalan pertahanan PDRM FC dalam aksi di stadium Darul Aman, kelmarin. – IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penolong Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag mahu para pemain menjadikan apa jua insiden yang berlaku dalam perlawanan menentang PDRM FC sebagai pengajaran.

Beliau yang baru pulang menjalani kursus kejurulatihan Diploma Profesional AFC di Croatia tidak menolak kemungkinan faktor emosi menjadi antara sebab pasukan tersebut gagal mencorakkan aksi sebenar.

Namun Victor mengakui, faktor kad merah terhadap dua individu penting dalam pasukan iaitu kapten, Manuel Ott dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain memberi impak kepada pemain.

“Apabila pemain diarahkan keluar padang, itu sudah tentu akan memberi impak besar kepada pasukan. Apatah lagi dalam kes kami, mereka yang dilayang kad merah adalah ketua jurulatih dan pemain utama.

“Disebabkan itu, pemain lain mungkin tak dapat kawal perasaan. Oleh itu saya amat berharap perkara sebegini dijadikan pengajaran untuk lebih maju pada masa akan datang.

“Pada masa sama kita juga mungkin terlalu mencuba untuk menjaringkan gol hingga melupakan beberapa elemen penting lain mengakibatkan permainan menjadi tidak teratur,” katanya.

Ott dilayangkan kad merah kerana mengasari Fadi Mahmoud Awad Salleh sebelum Nafuzi dikenakan tindakan sama pada minit ke-70 berikutan tindakan ketua jurulatih itu memegang pengadil keempat sambil menyatakan sesuatu menerusi mikrofon di badannya.

Bagaimanapun, Victor berterima kasih kepada lebih 12,000 penyokong yang hadir ke stadium kerana masih setia sehingga wisel penamat dibunyikan walaupun ketinggalan 0-1.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali berkata pihaknya akan membuat aduan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung mutu pengadilan keseluruhan perlawanan menentang PDRM FC.

Jelasnya, aduan itu bakal dikemukakan dalam tempoh terdekat selepas melihat kembali keseluruhan perlawanan sepanjang 90 minit di Stadium Darul Aman itu yang menyaksikan skuad Sang Kenari tewas 0-1.

Bagaimanapun, Khamal mengakui pasukannya menerima kekalahan itu tetapi aduan dibuat adalah sebagai langkah untuk memastikan mutu pengadilan Mohd Azizan Saat Aiffin dan barisan pembantu pengadil dapat diteliti secara keseluruhannya selepas mendapat reaksi kurang baik dan menimbulkan kekecohan di kalangan penyokong.

“Tujuan kita membuat laporan bukan hendak mempertikaikan keputusan yang mengakibatkan kita tewas 0-1 kepada PDRM FC semalam, tetapi sebagai langkah untuk memastikan mutu pengadilan dalam perlawanan Liga Super dapat dijalankan dengan lebih baik pada masa hadapan.

“Kita akur dengan keputusan pengadil. Tetapi kita lihat sebagai orang yang membuat keputusan diatas padang itu, beliau juga perlu mencapai tahap penilaian tepat dan seimbang bagi memastikan isu kekecohan dan ketegangan antara pemain dan penyokong yang hadir dapat dielakkan.

“Bukan hal kerana kita kalah dan tidak puas hati dengan kekalahan, tetapi aduan ini untuk memastikan tindakan yang tepat boleh diambil sekiranya ada kelemahan ketara yang menjejaskan mutu pegadilan di Liga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, PDRM membuktikan mereka bukan pasukan yang senang ‘dibuli’ walaupun rata-rata pemainnya baru pertama kali beraksi dalam Liga Super.

Pengendalinya, Azzmi Ab. Aziz berkata, tanpa berbelanja besar, beliau bangga dengan potensi ditampilkan anak-anak buahnya yang sentiasa sanggup untuk belajar memajukan pasukan.

“Kemenangan ini sudah tentu lonjak moral pemain tetapi saya selalu katakan kami tidak dibuli. Cuma dalam perlawanan pertama, kita tidak halang ‘counter attack’ menyebabkan dibolosi empat kali kemudian sewaktu seri dengan Perak FC, kami cipta banyak peluang tetapi gagal terjemahkan kepada jaringan.

“Alhamdulillah akhirnya kami jaringkan satu gol dan perolehi tiga mata. Bukan nak menafikan kemampuan pemain tetapi bukan mudah untuk membentuk pasukan ini yang dibentuk daripada rata-rata individu pertama kali bermain dalam Liga Super dan anggota polis,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya