PETALING JAYA: Kerajaan akan terus memberi tumpuan terhadap keperluan Sabah dengan memastikan setiap dasar serta bantuan terus dirasai oleh rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar.
Beliau berkata, perjumpaan itu bagi berbincang dan meneliti beberapa perkara terkait pembangunan dan kebajikan rakyat Sabah.
“Perbincangan turut menyentuh ikhtiar meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar, termasuk usaha memperkukuh peluang ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Madani akan terus memberi tumpuan terhadap keperluan Sabah agar setiap dasar dan bantuan bukan sekadar diumumkan tetapi benar-benar sampai dan dirasai rakyat di lapangan, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini. – UTUSAN










