Nafuzi puas hati pencapaian Kedah sebelum liga berehat

Nafuzi puas hati pencapaian Kedah sebelum liga berehat

PEMAIN Kedah meraikan jaringan ketika menumpaskan Kuching City dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA), Nafuzi Zain berpuas hati dengan prestasi ditampilkan anak-anak buahnya untuk berada di tangga ketiga dalam saingan Liga Super ketika ini.

Menurut Nafuzi, pencapaian itu boleh dianggap sebagai permulaan musim yang baik sebelum mereka berehat hampir dua minggu bermula hari ini daripada sebarang perlawanan liga.

Namun katanya, ia tidak bermakna dia dan anak-anak buahnya sudah boleh bersenang-lenang memandangkan masih banyak aspek perlu dipertingkat bagi memastikan mereka terus memberi saingan terbaik pada musim ini.

“Kemenangan ke atas Kuching City tonik terbaik untuk pasukan sebelum kami berehat. Sebelum menang 3-2 di Kota Bharu Isnin lalu, kami tewas dua perlawanan berturut-turut dan kemenangan ini penting untuk pemain tambah keyakinan di gelanggang sendiri.

“Sebelum perlawanan ini, kita berjaya jaringkan tujuh gol di tempat lawan dan hanya tiga gol di gelanggang sendiri. Jadi apabila menang 3-0 ke atas Kuching City, perkara itu sudah tentu memberi lebih keyakinan terhadap pemain untuk beraksi di ‘sarang’ sendiri selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.


PERTAHANAN KDA FC, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (kanan) menahan asakan pemain Kuching City dalam aksi Liga Super malam tadi. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Dalam perlawanan itu, KDA yang menguasai sebahagian besar perlawanan berjaya mencatat kemenangan hasil dua jaringan pemain pertahanan, Mohd. Akmal Md. Zahir serta sayap lincah dari Argentina, Manuel Hidalgo pada minit 28, 49 dan 57.

Diminta mengulas ketumpulan jentera serangan yang mensia-siakan sekurang-kurangnya tiga peluang untuk menambah jaringan dalam perlawanan itu, Nafuzi tetap mahu melihat perkara itu daripada aspek positif.

“Setiap penyerang pasti mahu jaring gol namun dalam masa sama, kita juga perlu lihat sumbangan keseluruhan mereka dalam perlawanan. Memang mereka gagal jaringkan gol tetapi usaha, tekanan diberikan dan penyertaan dalam setiap gerakan juga penting bagi membuka ruang buat rakan-rakan lain melakukan jaringan.

“Apa yang penting kita raih tiga mata tanpa mengira siapa yang lakukan jaringan sama ada penyerang, pertahanan atau pemain tengah. Dalam perlawanan dilalui musim ini, kita dapat lihat pemain berbeza mampu melakukan jaringan dalam setiap perlawanan dan itu sesuatu yang positif buat pasukan,” katanya.

Tambahnya, sesuatu yang menggembirakan juga adalah sikap pemain yang belajar untuk sentiasa bekerja keras tanpa mengira siapa lawan mereka sejak tewas kepada PDRM FC dan Penang FC sebelum ini.

“Dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku dan kekalahan kepada PDRM menjadi pengajaran amat berguna. Elemen kejutan memang boleh berlaku dalam bola sepak tetapi jika kita benar-benar fokus, bersedia serta tidak ambil mudah, saya fikir perkara itu boleh dielak.

“Dalam masa sama pemain perlu belajar kawal emosi kerana dalam perlawanan ini pun kami masih kutip kad merah ketika sudah mendahului 3-0, berbaki beberapa minit saja lagi perlawanan berakhir. Semua itu merugikan kerana pemain tersebut tidak dapat beraksi untuk perlawanan seterusnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya