TAPAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang hilang sejak 11 hari lalu semasa menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih dekat sini, diteruskan dalam skala lebih kecil.
Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Penyelarasan Operasi SAR yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Batang Padang, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokri.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, operasi SAR itu diteruskan dalam skala kecil melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) orang hilang.
Katanya, operasi dalam skala kecil itu akan dilaksanakan mulai esok.
“Bagaimanapun, pihak polis akan terus menjalankan pemantauan dan siasatan lanjut berkaitan kes kehilangan mangsa di kawasan Gunung Batu Putih.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4015222,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Tapah, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dan Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Supritenden Azhar Hashim.
Menurut Abdul Malik, keputusan meneruskan operasi dalam skala kecil itu dibuat selepas kira-kira 95 peratus kawasan pencarian di Gunung Batu Putih telah diliputi sepanjang 11 hari operasi SAR dijalankan.
Katanya, sehingga kini, seramai 116 anggota daripada pelbagai agensi dengan pelbagai kaedah pencarian digunakan berdasarkan prosedur yang ditetapkan oleh JBPM selain mengambil kira maklumat yang diperoleh sepanjang operasi berlangsung.
“Berdasarkan maklumat yang kita dapat dan keadaan kawasan gunung yang bukan tempat biasa, kawasan pencarian telah kita kecilkan untuk pihak bomba meneruskan operasi mencari dan menyelamat orang hilang,” katanya.
Sepanjang operasi dijalankan, seramai 116 sumber manusia telah digerakkan melibatkan pelbagai agensi, jabatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan penduduk setempat.
Operasi SAR mengesan Jaslinda diaktifkan 25 Mei lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.
Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.
Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung. – UTUSAN










