LONDON: Kepulangan Gabriel Jesus daripada kecederaan menggembirakan ramai penyokong Arsenal, namun pengurus Gunners, Mikel Arteta diberi amaran dia bakal berdepan cabaran sukar dengan kembalinya bintang Brazil itu.
Jesus, 25, membuat penampilan pertama sejak November lalu apabila dibawa masuk pada 13 minit terakhir ketika Arsenal menundukkan Fulham 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.
Legenda kelab, Ian Wright bagaimanapun menjangkakan Arteta akan berdepan tugas sukar untuk ‘menggembirakan semua orang’, terutama selepas pemain yang dibawa masuk Januari lalu, Leandro Trossard mengisi kekosongan Jesus dengan baik.
“Kepulangan Gabriel Jesus memberi sedikit masalah kepada Arsenal kerana pemain sepertinya sentiasa mahu bermain.
“Dia tidak menandatangani kontrak hanya untuk menjadi pemain yang kurang sumbangan seperti di Manchester City. Ia pasti akan memberi masalah kerana ketika ketiadaannya Arsenal sudah menandatangani pemain lain,” kata Wright.
Two days to go. @EuropaLeague ✨ pic.twitter.com/MwKrGGyDa8
— Arsenal (@Arsenal) March 14, 2023
Wright memuji pembelian Trossard yang membawa impak sejak tiba di Emirates, malah mencipta tiga umpanan dalam pertemuan menentang Fulham dan antara tonggak yang membantu Gunners berada di tangga teratas Liga Perdana.
Pemain sayap Belgium berusia 28 tahun itu dijangka menjadi pilihan untuk mengisi kesebelasan utama apabila Arsenal berdepan cabaran getir Sporting Lisbon pada aksi kedua, pusingan 16 akhir Liga Europa di London esok.
Selepas seri 2-2 di Portugal, Arsenal perlu menang di laman sendiri dan cuba mengelak perlawanan ditentukan olen penentuan sepakan penalti.
“Ketika tiba, dia (Trossard) mungkin bukan pilihan pertama, kerana dia mengisi kekosongan pemain yang cedera.
“Begitupun sejak perlawanan pertama hingga sekarang, dia semakin menunjukkan peningkatan. Seperti yang saya katakan, bersama Gabriel Martinelli dan Eddie (Nketiah), mereka berjaya merapatkan jurang, menjaringkan gol dan mencipta gerakan,” katanya. – AGENSI