PETALING JAYA: Kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Turkmenistan dalam aksi persahabatan kelmarin bukan sekadar nasib tetapi terhasil daripada pembentukan skuad yang mantap dan adunan taktikal terbaik.
Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon juga betul-betul ‘membuat kerja’ apabila berjaya mengenalpasti pemain yang diinginkan untuk mengikuti taktikal diterapkan walaupun tidak memiliki minit permainan.
Bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan turut memuji dua naturalisasi baharu, Paulo Josue dan Endrick Dos Santos, malah percaya, skuad kali ini adalah bayangan pasukan yang akan mewakili negara ke Piala Asia di Qatar tahun depan.
“Malaysia menyajikan mutu permainan berbeza. Bahagian serangan, tengah dan pertahanan beraksi baik. Mereka berjaya menenggelamkan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi.
“Kita boleh lihat permainan dalam dua fasa atau bahagian berbeza. Pada mulanya, Turkmenistan tidak menekan kita dan biarkan Malaysia membina permainan dari belakang, namun skrip berbeza apabila mereka ketinggalan.

“Pan Gon juga bijak menukar strategi apabila melihat Turkmenistan mula menekan, jadi dalam perlawanan itu pemain dapat belajar sesuatu dalam dua situasi.
“Bukan mudah untuk bermain dengan negara yang mempunyai kelebihan fizikal dan kita berjaya buktikan kali ini.
“Dua kali kita menang dengan mereka dan ia membuktikan adunan pemain dan taktikal itu ‘kena’,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai gandingan Josue dan Dos Santos, Sathianathan percaya, mereka memberi gambaran kepada skuad masa depan.
“Saya tertarik dengan gandingan Josue-Endrick bersama pemain lain seperti Akhyar Rashid dan Faisal Halim.
“Mereka ada keserasian dan berjaya melakukan lapan percubaan bahaya. Walaupun hanya satu gol dijaringkan.
“Sumbangan Brendan Gan juga tidak boleh dinafikan, dia banyak buat kerja di bahagian tengah dan pertahanan,” katanya.