LONDON: Dua gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Manchester United bakal berdepan cabaran getir pada pusingan 16 akhir Liga Europa selepas undian dilakukan di Nyon, Switzerland sebentar tadi.
Pendahulu liga, Arsenal akan berdepan wakil Portugal, Sporting Lisbon, manakala United pula akan menentang Real Betis.
Red Devils melangkah ke pusingan 16 akhir selepas mengetepikan gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona secara agregat 4-3 dalam perlawanan playoff.
Arsenal pula mengharungi laluan mudah selepas tidak perlu mengharungi pusingan playoff apabila mendominasi peringkat kumpulan sebelum aksi Piala Dunia.
Sporting Lisbon tersingkir dari Liga Juara-Juara daripada kumpulan yang dihuni Eintracht Frankfurt dan Tottenham.
Selepas menamatkan saingan di tempat ketiga peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, Sporting terpaksa berdepan FC Midtjylland di pusingan playoff.
Mereka seri 1-1 di tempat sendiri namun membelasah lawan 4-0 di Denmark pada aksi kedua pagi tadi.
Perlawanan pertama pusingan 16 terbaik dijadualkan 16 Mac ini. – AGENSI