Syarikat konglomerat Dubai taja KDA FC

Syarikat konglomerat Dubai taja KDA FC

JERSI baharu KDA FC yang diperkenal bersama penaja dan lagu baharu pasukan di Stadium Darul Aman, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keseriusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melakukan persiapan untuk menghadapi saingan bola sepak tanah air berjaya menarik perhatian syarikat konglomerat Dubai, Bin Zayed International LLC untuk menjadi penaja utama pasukan itu musim ini.

Meskipun enggan mendedahkan jumlah tajaan tersebut, Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar memaklumkan, nilainya cukup besar dan mampu memberi sokongan padu kepada kewangan pasukan.

Bagaimanapun katanya, tajaan itu hadir bersama tanggungjawab besar kepada KDA FC yang dituntut untuk menampilkan aksi terbaik bagi memberi saingan meyakinkan dalam arena bola sepak tanah air.

“Untuk yakinkan sebuah syarikat gergasi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) memerlukan satu naratif meyakinkan. Mereka sudah lama datang ke Malaysia untuk menjalankan perniagaan, maka saya ambil cabaran untuk tawar mereka peluang menjadi penaja antarabangsa pertama.

“Antara faktor yang membawa kepada penajaan ini adalah hubungan baik serta persahabatan yang lama. Mereka sudah mengenali saya dan percaya bahawa pasukan ini perlu diuruskan dengan baik kerana ianya akan melibatkan nama mereka selaku penaja utama.

“Akhirnya mereka yakin KDA FC boleh menjadi ‘wajah’ kepada bentuk tajaan dari Timur Tengah atau antarabangsa. Pengarah Urusan syarikat itu, Sheikh Midhat Kidwai juga mahu melihat kita menjadi pasukan yang boleh beri saingan kepada semua dalam Malaysia,” katanya pada Majlis Pelancaran Jersi, Lagu Baharu dan Pengumuman Penaja KDA FC, malam tadi.

Majlis di Stadium Darul Aman itu turut diserikan dengan perlawanan menggamit memori antara legenda Kedah bersama bekas pemain-pemain Singapura yang berakhir dengan kemenangan 1-0 memihak Legenda Kedah.

Mohd. Daud berkata, KDA FC turut mendapat tajaan daripada sebuah syarikat yang berpusat di Kanada dan mempunyai kilang di Jerman serta Australia iaitu Kensana Health yang menghasilkan minyak daripada daun ganja bagi tujuan perubatan diabetik pertama di dunia. 

“Kesemua tajaan akan digunakan untuk tujuan sepatutnya dalam konteks pembangunan bola sepak KDA FC. Jadi saya perlu jaga amanah tersebut dan melalui apa yang dicetuskan ini, tahun depan kalau boleh kita nak tingkatkan lagi jumlah tajaan hingga mencecah 50 peratus daripada peringkat tempatan dan 50 peratus lagi untuk syarikat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sasaran KDA FC musim ini, beliau berkata, pasukan disasarkan untuk berada di kedudukan empat teratas dalam liga selain berusaha melayakkan diri ke peringkat Asia.

“Kalau menang piala, itu akan dianggap sebagai bonus untuk pasukan yang baru dibentuk. Mengenai persiapan pasukan pula, saya fikir kita telah mencapai matlamat penting dalam kunjungan ke Turkiye baru-baru ini untuk mewujudkan ‘keluarga’ baharu.

“Selepas 10 hari mengembara bersama di Turkiye, saya fikir rasa kekeluargaan yang hilang pada musim lalu sudah kembali terbentuk. Apabila ada rasa kekeluargaan, akan wujud komunikasi lebih baik sekali gus membentuk hubungan serta keserasian yang mampu membantu pasukan menjadi lebih cemerlang,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.