PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Datuk Dollah Salleh tidak mahu anak buahnya terus mempamerkan aksi ‘yo-yo’ apabila turun menentang DPMM FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, malam ini.
Dollah mengakui persembahan skuad The City Boys masih belum mencapai tahap konsisten yang diinginkannya apabila prestasi pasukan dilihat berubah-ubah dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Katanya, KL City perlu segera mencari rentak permainan sebenar bagi memastikan mereka mampu memberikan cabaran lebih sengit dalam saingan Piala FA, khususnya apabila berdepan DPMM FC.
“Saya tak kiralah berdepan siapa, saya tumpukan kepada pasukan KL City yang nampak kita masih lagi macam yo-yo. Kejap kita bagus, kejap kita tidak. Kita tak dapat lagi betul-betul rentak yang saya inginkan,” katanya.
Menurut Dollah, walaupun persembahan KL City dalam perlawanan terakhir tidak terlalu mengecewakan, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu segera diperbaiki sebelum menghadapi DPMM FC.
Katanya, antara perkara paling ketara adalah ketumpulan di bahagian serangan apabila pasukan masih terlalu bergantung kepada seorang pemain untuk menghasilkan jaringan.
“Kita masih mengharapkan Paulo Josue untuk menjaringkan gol. Itu yang jadi ketara di bahagian serangan KL City.
“Selama beberapa perlawanan memang kita mengharapkan Paulo untuk menjaringkan gol. Sebelum perlawanan pun saya sudah cakap, dalam setiap perlawanan bukan hanya seorang saja yang perlu menjaringkan gol,” katanya.
Dollah berkata, semua pemain perlu memainkan peranan dalam usaha menghasilkan jaringan dan tidak boleh meletakkan tanggungjawab itu kepada seorang pemain semata-mata.
Bekas juara Piala FA sebanyak tiga kali, Kuala Lumpur City FC meneruskan kemaraan ke suku akhir kempen Piala FA apabila mengenepikan Perak FA di pusingan 16 terbaik.
Bagaimanapun, pengerusi KL City FC, Syed Yazid Syed Omar mengesahkan Dollah tidak akan bersama pasukan ke Brunei kerana mentuanya meninggal dunia, semalam.
Dollah yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Brunei, terpaksa bergegas ke Johor Bahru bagi menguruskan urusan pengebumian serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.
Bagi memastikan persiapan pasukan tidak terjejas, penolong ketua jurulatih, Ishak Kunju dipertanggungjawabkan menggalas tugas sebagai pemangku ketua jurulatih untuk mengemudi KL City dalam aksi pertama suku akhir Piala FA menentang DPMM FC.-UTUSAN











