PETALING JAYA: Penyerang berbisa tempatan dalam kancah Liga Super telah lama ‘tenggelam’ susulan hampir keseluruhan pasukan bertanding mempertaruhkan tonggak import.
Senario itu, semestinya merugikan bola sepak negara kerana yang menerima kesannya adalah skuad kebangsaan.
Begitupun, legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan tidak mahu menunding jari kepada pasukan bertanding, sebaliknya mencabar penyerang-penyerang tempatan keluar daripada dibayangi bintang import pada musim baharu Liga Super 2023.
“Kita tidak boleh salahkan pasukan kerana saya sebagai jurulatih pun nak penyerang terbaik diturunkan.
“Jika penyerang import terbaik kita guna mereka, kalau tempatan lebih bagus pasti kita pilih.
“Pemain kita ambil peluang terlampau banyak untuk jaringkan gol walhal penyerang import dapat jaringkan satu gol daripada dua peluang sahaja.
“Pemain import lebih tajam kerana mereka berlatih bersungguh-sungguh dan di sini pemain tempatan perlu buat homework lebih lagi.
“Sebenarnya daripada segi kemahiran, kualiti dan sebagainya jurang tidak terlalu banyak tetapi membezakan hanya naluri ‘membunuh’ atau bisa penyudah.
“Jadi saya nasihat penyerang tempatan agar tidak cepat putus asa dan berlatih bersungguh-sungguh, sekiranya tidak dapat peluang bermain,” katanya ketika ditemui pada Malam Gerbang Bola 2023 anjuran Astro Arena.
Zainal pada masa sama juga mengingatkan kesemua jurulatih, agar tidak mengabaikan penyerang tempatan dengan memberikan minit permainan, bagi mengelakkan mereka daripada mengalami ketumpulan penyudah.
Mengulas mengenai siapa bakal menjadi juara Liga Super musim ini, Zainal memilih Johor Darul Ta’zim (JDT) akan terus mendominasi liga utama tempatan itu, memandangkan mereka memiliki struktur pasukan yang jauh lebih baik daripada pencabar lain.