Suasana berpuasa di perantauan sudah semestinya berbeza dengan berpuasa di tanah air sendiri terutama daripada segi juadah berbuka.
Apa yang pasti, suasana meriah menjelang berbuka puasa dengan bazar Ramadan, ditambah dengan moreh selepas solat terawih adalah antara suasana yang pasti dirindui apabila di luar negara.
Bagi Nor Ashikin Afandi, 43, yang bekerja dengan syarikat pengeluar gas di Doha, Qatar sejak tiga tahun lalu, sudah biasa menyambut Ramadan dalam suasana sepi tanpa suami dan dua anaknya.

Namun tahun ini, sambutan Ramadan lebih meriah apabila suaminya, Mohd Kamal dan dua anak yang meningkat remaja mengikutnya berpindah ke negara itu sejak awal tahun ini.
“Tahun ini saya gembira kerana pertama kali dapat berpuasa di negara ini bersama suami dan anak-anak. Tahun pertama di sini, saya berpuasa keseorangan kerana keluarga masih berada di Malaysia. Pada tahun kedua pula, saya menjalani ibadah puasa di Milan kerana tuntutan kerja di sana,
“Sepanjang berpuasa di bandar ini, saya lebih banyak memasak sendiri hidangan berbuka di rumah berbanding berbuka di luar. Berbeza dengan suasana berbuka yang meriah di tanah air, di sini tiada jualan juadah berbuka atau bazar,” katanya.
Nor Ashikin enggan mengulas mengenai suasana Ramadan selepas serangan balas Iran membabitkan bandar itu, baru-baru ini. Namun sejak kejadian itu, dia yang bertugas sebagai Senior Expeditor, Mcdermott Middle East Inc. (MMEI),Hemisphere Qatar, bekerja dari rumah sahaja.
Katanya, cabaran berpuasa di sini tidak jauh beza dengan di tanah air. Cuaca pada masa ini tidak begitu panas dan tempoh berpuasa antara 12 hingga 13 jam. Bagi mendapatkan bahan masakan, setakat ini tiada masalah kerana pasaraya beroperasi seperti biasa.
“Kebiasaannya saya dan suami akan bangun sahur seawal pukul 3.45 pagi dan hanya menjamah kurma dan air. Manakala anak-anak lebih gemar makan nasi dan baki lauk yang dimakan ketika berbuka puasa malam semalam.
“Ada dalam kalangan rakan sekerja dari Malaysia yang menjual juadah berbuka yang dimasak oleh mereka sendiri. Bagi orang tempatan, mereka kaya dengan tradisi Arab dan Asia Barat yang lebih kepada hidangan berperisa rempah dan manisan. Contohnya Nasi Majboos dan Luqaimat, “katanya.
Nor Ashikin berkata dia amat menggemari Nasi Majboos kerana keenakannya dan dagingnya sangat berjus. Manakala Luqaimat pula umpama donat-donat kecil yang disira dengan gula.

Nasi Majboos adalah nasi berempah yang biasanya dimasak menggunakan beras basmathi bermutu tinggi. Daging biasanya dimasak selama beberapa jam bersama rempah rempah tempatan untuk melembutkannya. Nasi ini dihidangkan dengan salad sayuran dan kuah tomato bercili.
Nor Ashikin berkata, setakat ini dia belum berpeluang berbuka puasa atau bersahur bersama orang tempatan sebaliknya hanya berbuka bersama rakan senegara sahaja.
Jika tahun sebelum ini Nor Ashikin dapat bertarawih di masjid bersama orang tempatan tetapi kini ia sukar dilaksanakan atas faktor keselamatan. Tarawih di masjid biasanya dijalankan sebanyak lapan rakaat disusuli bacaan Qunut dari hari pertama Ramadan.
LAMPU SERIKAN MALAM RAYA
Ditanya mengenai persiapan menyambut kedatangan Syawal, Nor Ashikin tetap merasakan sambutan Aidilfitri kali ini akan lebih meriah berikutan suami dan anak-anaknya ada bersama di negara itu.
“Saya tetap bersyukur kerana Allah bagi kami sekeluarga beraya bersama pada tahun ini. Apa yang penting, suami dan anak-anak berada disamping saya di Aidilfitri nanti walaupun tidak semeriah di Malaysia.
“Sambutan Aidilfitri di negara ini sederhana. Rumah-rumah orang di sini biasanya akan dihiasi lampu-lampu raya tetapi malam raya terasa sunyi tanpa bunyi-bunyi mercun seperti di Malaysia, “ katanya.
NASI MANDY ANAK UNTA
Maizatul Akmar Razalli, 55, yang mengerjakan umrah di Mekah berkata, suasana berpuasa dan berbuka di tanah haram itu tetap berjalan seperti biasa walaupun ketika negara teluk berdepan peperangan.

Berkongsi pengalaman berbuka puasa di Masjidilharam, Maizatul Akmar berkata, suasana sangat meriah dengan ribuan jemaah umrah mula memenuhi masjid sebelum waktu asar pada pukul 3.32 petang. Selepas Asar, kebanyakan jemaah terus beriktikaf di masjid dan masa dipenuhi dengan solat sunat serta mengaji al Quran sehingga masuk waktu Maghrib pada 6.22 petang.
Pihak masjid akan memberikan pek plastik yang berisi juadah berbuka puasa ringkas seperti yogurt, roti, kurma dan biskut serta air Zam-Zam sebagai pelapik perut. Makanan lebih berat seperti nasi dan lauk pauk berasaskan menu Melayu disediakan pihak hotel.
Antara hidangan unik yang dinikmati ketika di kota suci itu adalah Nasi Mandy anak unta yang dibeli oleh pihak agensi ketika bersahur. Sepanjang hidupnya, itulah kali pertama Maizatul Akmar merasa hidangan daging unta.
Sekali cuba, Maizatul Akmar mengakui kelazatannya. Nasi terasa lembut dan lemak manis manakala daging anak unta juga sangat lembut serta berjus.










