Apa gunanya kedaulatan jika bahasa Melayu tidak dikuasai?

Apa gunanya kedaulatan jika bahasa Melayu tidak dikuasai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESEDARAN tentang kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa negara wajar dipupuk bersama oleh semua etnik, bukan hanya oleh orang Melayu sebagai penutur jati.

Hal ini kerana bahasa Melayu telah diterima dan dipersetujui oleh pelbagai kaum sebagai bahasa negara sejak Perjanjian Etnik 1955, yang sering dirujuk sebagai Kontrak Sosial.

Dengan persetujuan tersebut, semua etnik di negara ini mendukung dua peranan penting bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi wadah perpaduan yang membina identiti nasional dalam masyarakat majmuk. Manakala sebagai bahasa rasmi, ia berperanan sebagai medium pentadbiran dan wahana untuk menzahirkan identiti budaya rakyat yang bernaung di bumi ini.

Selepas sekian lama sejak termeterainya persetujuan tersebut, sewajarnya bahasa Melayu bukan sahaja diterima secara rasmi, malah turut dihayati dan digunakan dengan lebih meluas oleh semua etnik. Namun hakikatnya, penghayatan itu masih belum berlaku pada tahap yang diharapkan dan memerlukan usaha berterusan daripada seluruh masyarakat.

Hal ini dapat dilihat dengan jelasnya pada kebanyakan waktu melalui tingkah laku etnik bukan Melayu, khususnya Cina. Walaupun mengakui kepentingan bahasa Melayu dalam konteksnya sebagai bahasa negara, namun tingkah laku mereka terang-terangan tidak selari dengan pengakuan positif yang dibuat itu.

Untuk tingkah laku terselindung, antaranya wujud dalam pelbagai bentuk termasuklah pemikiran dan perasaan yang bukan sahaja negatif, juga toksik. Contoh, pandangan bahasa Melayu tiada nilai untuk dikuasai, apatah dihayati. Ini selalu terpamer pada tingkah laku bawah sedar mereka.

Manakala bagi yang nyata, mereka antaranya membantah sesuatu dengan agresif. contoh, penambahan waktu pendidikan mata pelajaran bahasa Melayu dan penyelarasan sukatan pelajarannya di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dengan yang di Sekolah Kebangsaan (SK).

Melihat situasi ini, etnik Cina didapati hanya menyambut baik istilah bahasa Malaysia sebagai pilihan dan jika boleh sebagai gantian kepada nama bahasa Melayu. Mereka juga menyatakan kegembiraan sekiranya negara ini tidak lagi dikaitkan dengan etnik Melayu semata-mata.

Sebenarnya istilah bahasa Malaysia mula diguna pakai secara ketara selepas berlaku Rusuhan Kaum 13 Mei 1969. Ia diperkenal untuk tujuan perpaduan negara. Dengan nama ini, dijangka akan lebih berjaya dalam usaha merealisasikan penyatuan linguistik di negara ini.

Langkah ini diambil berikutan kejayaan Indonesia yang mengambil bahasa Melayu dan memberi nama nasional bahasa Indonesia kepadanya untuk agenda perpaduan negara di sana. Indonesia berjaya menyatukan rakyat peribuminya yang terdiri daripada sekitar 1,500 puak bertutur pelbagai bahasa.

Bukan itu sahaja kejayaannya, etnik Cina di republik itu juga bukan sahaja sangat fasih malah bangga, sayang dan setia kepada bahasa Indonesia selaku bahasa negara, sekali gus dalam peranannya juga sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Walaupun istilah bahasa Malaysia pernah disambut dengan reaksi yang positif, hakikatnya perubahan sikap yang benar-benar ketara masih belum berlaku. Sambutan awal yang lebih bersifat retorik itu tidak banyak berkembang menjadi penghayatan yang lebih mendalam. Bahasa negara masih belum diterima dan digunakan sepenuhnya sebagaimana diharapkan, walaupun pernah dipersetujui bersama sebagai bahasa negara.

Sebenarnya, istilah bahasa Malaysia sebagai ganti nama bahasa Melayu tidak tepat dan tiada ikatan perundangan. Nama sesuatu bahasa biasanya merujuk kepada kelompok penuturnya, bukan negara. Contohnya, bahasa Inggeris tetap dikenali sebagai English walaupun dituturkan secara meluas di Amerika, Kanada, Australia, dan New Zealand.

Sebenarnya nama Jepun dan lain-lain pada sesuatu bahasa itu merujuk kepada kelompok penutur dan bukan negara. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas dalam cara penamaan bahasa oleh bahasa Inggeris. Sehubungan bahasa Jepun, ia adalah Japanese, yakni bahasa orang Jepun. Ia bukannya Japan Language, iaitu bahasa negara Jepun.

Begitu juga dengan bahasa Indonesia yang dalam bahasa Inggeris dipanggil Indonesian, yakni bahasa orang Indonesia. Dalam hal ini, ia tidak pernah disebut Indonesia Language, iaitu bahasa negara Indonesia. Sama halnya berlaku pada istilah bahasa Malaysia, ia membawa pengertian bahasa orang Malaysia dan bukan bahasa negara Malaysia.

Selain itu, istilah bahasa Malaysia tidak mempunyai ikatan perundangan kerana ia tidak pernah dimaktubkan dalam mana-mana undang-undang Malaysia. Walaupun digemari sesetengah pihak, terutama etnik Cina, istilah ini bukan bersifat de facto. Hakikatnya, nama bahasa Melayu lebih banyak digunakan oleh rakyat Malaysia yang majmuk dan merupakan nama rasmi bahasa negara di bumi Melayu-Islam.

Nama bahasa Malaysia tidak pernah diusulkan sebagai pilihan atau gantian. Walaupun ada pindaan di Parlimen, ia tetap memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja kerana selain dilindungi Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152), bahasa Melayu juga berada di bawah jagaan institusi ini. Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa mutlak untuk menolak apa-apa pindaan yang boleh mengubah kedudukan bahasa Melayu, sekali gus menjadi pelindung perlembagaan dan penjaga identiti nasional serta budaya rakyat Malaysia.

Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang masih belum diperlihatkan secara positif oleh etnik Cina, sama ada melalui pemikiran atau tindakan, perlu segera diperbetulkan. Keengganan menerima bahasa Melayu, walaupun dipersetujui dalam Kontrak Sosial, sebenarnya sudah dapat dijangka sejak ia mula diangkat ke kedudukan nasional pada 1957 dan kelewatan penghayatan ini telah berlaku terlalu lama.

Tempoh 10 tahun sehingga 1967 diberikan kepada etnik Cina untuk membiasakan diri dengan bahasa Melayu, terutama dalam peranannya sebagai bahasa rasmi yang wajib digunakan dalam semua sistem negara. Nasihat, galakan dan amaran turut diberikan agar mereka bukan sahaja mengetahui tetapi juga menguasai bahasa Melayu.

 

 

70 TAHUN PELUANG KUASAI BAHASA MELAYU

Amaran ini termasuk cemuhan terhadap mereka yang gagal menguasai bahasa Melayu, sebagai tanda tiada kesetiaan kepada negara. Namun, selepas hampir 70 tahun, sikap etnik Cina terhadap bahasa Melayu masih statik dan penerimaan serta penghayatan bahasa negara ini tidak menunjukkan perubahan signifikan, malah dalam beberapa aspek semakin meruncing.

Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang daulat negara apabila masih wujud golongan yang tidak menguasai bahasa Melayu, bahkan kelihatan sengaja menolak bahasa Melayu sebagai bahasa terpenting di bumi Melayu-Islam ini.

Kekhuatiran sejak awal bahawa bahasa Melayu sukar diterima sepenuhnya oleh rakyat sendiri bukan sekadar andaian tetapi realiti yang telah berlarutan hampir tujuh dekad dan berpotensi berterusan jika tidak diatasi. –UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×