Bawa pulang Malbatt 850-13 tertakluk arahan UNIFIL - Utusan Malaysia

Bawa pulang Malbatt 850-13 tertakluk arahan UNIFIL

MALEK RAZAK SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang keputusan dan perancangan bagi membawa pulang anggota Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 tertakluk kepada pertimbangan situasi oleh Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, setakat ini semua anggota Malbatt 850-13 masih kekal bertugas seperti diamanahkan.

Katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi semasa di Lubnan dan bersedia membawa pulang anggota terlibat, jika diputuskan untuk berbuat demikian.

“Semua anggota Malbatt 850-13 dalam keadaan selamat dan meneruskan tugas seperti biasa.

“Keputusan rancangan membawa pulang tertakluk kepada pertimbangan situasi Markas UNIFIL. Alhamdulillah anggota di sana masih kekal utuh dan bersemangat melaksanakan tugas di Lubnan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Serangan udara Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan berlaku berhampiran kedudukan Malbatt 850-13 di kawasan operasi Pasukan Interim UNIFIL, selatan Lubnan, minggu lalu.

Semua anggota Malbatt 85013 dilaporkan selamat dalam serangan tersebut.

Kelmarin, seorang anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) cedera dalam serangan terbaharu berlaku di posisi UNIFIL yang turut mengakibatkan kebakaran.

Menurut jurucakap UNIFIL, Kandice Ardiel, satu daripada posisi berhampiran Meiss ej Jebel telah terkena serangan, berkemungkinan daripada tembakan mesingan berat.

Beliau berkata, impak tersebut menyebabkan kebakaran, dan seorang anggota pasukan pengaman yang sedang dalam perjalanan ke tempat perlindungan mengalami kecederaan ringan.

Ardiel berkata, UNIFIL melancarkan siasatan terhadap insiden berkenaan.

Israel dijangka mengadakan rundingan langsung pertama dengan Lubnan dalam masa terdekat sejak tercetusnya perang Iran, yang mengheret negara itu ke dalam konflik yang semakin mendalam.

Rundingan bakal diadakan di Paris atau Cyprus.

Hezbollah memaklumkan, serangan ke atas Israel pada 2 Mac lalu merupakan tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN