Thailand 'seronok' Jay Chou buat konsert di Bukit Jalil

Thailand ‘seronok’ Jay Chou buat konsert di Bukit Jalil

STRUKTUR pentas konsert penyanyi Taiwan, Jay Chou yang akan berlangsung pada 15 Januari menyebabkan 21,000 tempat duduk separuh akhir Piala AFF 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini terpaksa ‘dikorbankan’. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tanpa berselindung, pengendali Thailand, Alexandre Polking me­ngakui, beliau gembira penyanyi le­genda Taiwan, Jay Chou me­ngadakan konsert di Stadium Nasional, Bukit Jalil, yang sekali gus ‘melemahkan’ sedikit sokongan terhadap Harimau Malaya.

“Saya difahamkan stadium akan menganjurkan konsert, lebih kurang 21,000 tempat duduk terpaksa ditutup kepada penonton.

“Kami gembira mendengar khabar itu, bagaimanapun kami tahu perlawanan ini masih sa­ngat sukar untuk kami,” katanya dalam nada berseloroh pada sidang akhbar menjelang separuh akhir pertama Piala AFF antara Malaysia dan Thailand dekat sini, semalam.

Kekecohan timbul dalam kalangan peminat bola sepak tanah air apabila mereka kehilangan 21,000 tempat duduk gara-gara konsert antarabangsa Jay Chou yang diadakan pada 15 Januari di Stadium Nasional.

ALEXANDRE Polking dalam sidang akhbar semalam.

Kata Polking, kekuatan mental penting untuk menghadapi perlawanan sebesar ini dengan suasana yang hebat, namun beliau percaya anak-anak buahnya mampu menyerap tekanan selepas mengharungi cabaran di laman Indonesia.

“Apa yang berlaku di Indonesia adalah tidak normal. Saya percaya perlawanan di Indonesia sebelum ini adalah pemang­kin buat kami untuk terus lebih kuat dari segi mental,” ujarnya.

Thailand yang turun sebagai juara bertahan seri 1-1 dengan Indonesia di depan ‘lautan’ penyokong Merah Putih di Gelora Bung Karno dalam aksi Kumpulan A, 29 Disember lalu.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan tidak mungkin konsert Jay Chou boleh ditunda kerana pe­nyanyi itu tersebut telah membuat tempahan pada Mac 2019, manakala skuad kebangsaan hanya berbuat demikian pada Ogos 2022.

Mengulas pula mengenai persiapan anak-anak buahnya, Polking memberitahu, berdepan Malaysia bukanlah satu tugas mudah , lebih-lebih lagi skuad bimbingannya perlu berdepan ribuan penyokong Harimau Malaya yang bakal menghadirkan tekanan.

PEMAIN Thailand menjalani latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam dalam persiapan menghadapi Malaysia pada separuh akhir Piala AFF malam ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

“Perlawanan ini penting buat kami, sudah tentu kami memulakan perlawanan dengan baik tanpa diganggu penyokong tuan rumah.

“Saya yakin ini semua melibatkan kekuatan mental pemain, kami tahu apa yang kami mahukan, jadi, kami yakin mampu untuk menguasai permainan,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai Harimau Malaya, pengendali kelahiran Brazil itu memuji Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih berpengalaman luas, selain barisan pemain yang memiliki fizikal sukar ditandingi.

Mengenai Thailand yang turut kehilangan beberapa tonggak, Polking menegaskan, beliau pernah mengulas perkara itu sebelum pertandingan bahawa mereka tidak boleh lagi menoleh ke belakang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN