Saya tidak berhasrat rayu penggantungan - Ronald Kiandee

Saya tidak berhasrat rayu penggantungan – Ronald Kiandee

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee tidak berhasrat untuk merayu selepas digantung keahlian parti selama dua penggal berkuat kuasa hari ini.

Katanya, keputusan yang dibuat terhadap beliau adalah keputusan parti dan beliau percaya ia dibuat berdasarkan agenda serta acuan politik kepemimpinan Bersatu.

“Saya rasa rakyat Malaysia sudah muak dengan perjuangan parti (Bersatu) yang sedemikian. Apa pun tindakan mereka, saya terima dan memang tidak berhasrat untuk membuat sebarang rayuan. Biarlah begitu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut digantung keahlian parti selama dua penggal kerana melanggar perlembagaan dan kod tatakelakuan.

Ronald berkata, beliau juga tidak membalas surat amaran bertulis yang diterimanya sebelum ini dan tidak berhasrat untuk berbuat demikian.

Katanya, Lembaga Disiplin parti digunakan sebagai alat untuk melaksanakan agenda politik tertentu.

“Ketika ini matlamat parti dilihat tertumpu kepada usaha mengangkat presiden sebagai ‘poster boy’ serta calon Perdana Menteri ke-11. Isu lain seperti perjuangan Bumiputera Sabah dan persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) bukan lagi menjadi keutamaan.

“Saya sudah penat dengan parti yang memperjuangkan individu berbanding perjuangan sebenar,” katanya.

Mengulas kemungkinan menyertai parti lain, Ronald berkata, perkara itu belum difikirkan kerana tindakan penggantungan tersebut baru sahaja dibuat.

Menurut notis penggantungan itu, Mas Ermieyati dikenakan tindakan kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

“Akhirnya saya digantung. Setakat itu sahaja Lembaga Disiplin mampu bagi. Bagi saya, syukur alhamdulillah. #Reset all the way,” katanya dalam status Whatsappnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN