Gabungan parti-parti Melayu ubah landskap politik Malaysia

Gabungan parti-parti Melayu ubah landskap politik Malaysia

FATHUL BARI MAT JAHYA (kiri) dan NOOR AMIN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penyatuan parti-parti utama berteraskan Islam, Melayu dan bumiputera bagi membentuk satu gabungan politik yang kuat tidak mustahil boleh berlaku sekiranya semua pihak dapat mengenepikan perbezaan serta permusuhan sesama sendiri yang merugikan.

Gabungan politik tersebut sekali gus bakal mengubah landskap politik negara yang sememangnya sangat dinantikan oleh rakyat yang ingin melihat orang Melayu Islam bersatu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, gabungan politik parti-parti utama Melayu tidak mustahil boleh berlaku dan ke arah penyatuan tersebut ia perlu datang terlebih dahulu daripada kesepakatan kepemimpinan atasan.

Katanya, sebarang usaha ke arah penyatuan tidak sepatutnya terhenti dan sekiranya gagal, usaha berterusan ke arah itu perlu sentiasa dilaksanakan tanpa mengenai erti putus asa.

“Dahulu kita pernah ke arah itu (penyatuan) dengan wujudnya Muafakat Nasional (MN) yang jelas bakal mengubah landskap politik negara tetapi ia tidak seperti diharapkan, MN berpecah. Bila gagal sekali, ia bukan gagal selamanya dengan usaha berterusan perlu dilakukan.

“Kita kena ingat dakwah ke arah perpaduan dan ke arah menyatupadukan umat manusia ini perkara yang perlu diteruskan. Apabila gagal, kita buat lagi dan saya percaya tidak mustahil penyatuan boleh berlaku dengan perbincangan ke arah itu perlu sentiasa diteruskan.

“Langkah tepat telah diambil UMNO baru-baru ini yang menganjurkan musyawarah dan berjaya menghimpunkan parti-parti politik Melayu Islam ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Pada 5 Mac lalu, lapan parti politik utama berteraskan Islam, Melayu dan bumiputera mencipta sejarah berhimpun dalam satu pentas menerusi Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera di Ibu Pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Antara parti terlibat adalah UMNO, Pas, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perlis, Noor Amin Ahmad yang turut menyertai musyawarah tersebut berkata, gabungan parti-parti politik Melayu Islam sudah tentu bakal mengubah lanskap politik Malaysia dan ia tidak mustahil berlaku.

Katanya, di dalam politik apa jua perkara boleh berlaku termasuk dalam soal penyatuan tersebut.

“Apa-apa boleh berlaku dalam politik ini dan tidak mustahil boleh bentuk gabungan politik parti-parti Melayu utama ini. Malah, semasa pertemuan baru-baru ini juga berlangsung dalam suasana penuh muhibah di mana masing-masing datang dengan semangat kebersamaan.

“Ia juga menjadi titik pertemuan yang membantu mengendurkan luka-luka akibat daripada perkataan-perkataan tajam serta tindakan yang mungkin berlebihan sebelum ini. Politik ini banyak melibatkan isu-isu kepentingan dengan ada parti besar, parti lama dan terpulanglah kepada masing-masing menetapkan pendirian,” katanya.

Menyentuh mengenai musyawarah tersebut, Noor Amin berkata, tujuan pertemuan bagi membincangkan isu-isu serta kepentingan Melayu Islam dan bumiputera di negara ini.

“Pertemuan pertama ini agak berjaya dan majoriti wakil parti yang hadir juga diberi peluang untuk bercakap. Semua mahu isu berkaitan Melayu bumiputera ini diberikan keutamaan dan tidak ketinggalan dalam pembangunan negara. Kebimbangan ketara orang Melayu Islam ketika ini adalah tidak ada kesepakatan,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN