TELUK INTAN: “Saya masih ingat dia mendaftar di kolej di sini semasa Ramadan 2024, namun tak sangka Ramadan kali ini kami datang mengambil jenazahnya.”
Itu kata bapa kepada seorang pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan yang maut selepas lehernya terkena sabit yang dibawa seorang lelaki warga asing ketika menunggang motosikal di Jalan Kampung Batu 4, Selabak, di sini semalam.
Mangsa yang maut adalah pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Semester 4, Agroindustri Ternakan Poltri dikenali sebagai Adham Faisal, 18.
Bapa mangsa, Faisal Abdul Aziz, 53, berkata, arwah anaknya merupakan anak ketiga daripada enam adik beradik dan mula belajar di kolej tersebut pada 2024.
Jelasnya, dia masih ingat ketika menghantar anaknya untuk pendaftaran ke kolej tersebut semasa bulan Ramadan tahun tersebut.
“Kami hantar dia ke sini semasa Ramadan dan hari ini kami datang bawa dia balik juga dalam bulan Ramadan.
“Dia sepatutnya balik kampung di Sungai Layar, Sungai Petani pada Selasa depan untuk cuti hari raya.
“Dia suruh kami ambil dia Selasa ini untuk dia balik kampung bercuti raya. Namun segala yang dirancang tidak menjadi malah, baju raya yang sudah siap dibeli juga tidak sempat dipakai,” katanya ditemui di Hospital Teluk Intan semalam.
Faisal yang merupakan seorang guru, mahu individu yang menjadi punca kejadian tersebut dikenakan hukuman setimpal.
Katanya, dia dimaklumkan oleh pihak polis kejadian yang menimpa anaknya bukan kemalangan trafik tetapi lebih kepada kes jenayah.
“Saya menyerahkan kes berkenaan kepada polis untuk mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Saya dimaklumkan ini bukan kes kemalangan trafik tapi lebih kepada kes jenayah. Saya serah kepada pihak polis untuk siasat.
“Saya berharap kami dapat kesabaran untuk menghadapi kejadian ini,” katanya.
Faisal berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu pada pukul 9 pagi selepas dihubungi ananya.
“Anak saya menghubungi saya, dia kata adik kemalangan. Daripada tangisannya itu saya dapat agak bagaimana kemalangan yang menimpa anak saya namun saya tak sangka dia meninggal disebabkan terkena sabit.” katanya.
Sementara itu, jenazah Adham dikebumikan tengah malam semalam di Tanah Perkuburan Islam Masjid Majidi, Sungai Layar Hujung, Sungai Petani, Kedah. – UTUSAN










