‘Mohd. Aizat mahu balik kampung tetapi pulang sebagai jenazah’

‘Mohd. Aizat mahu balik kampung tetapi pulang sebagai jenazah’

AHLI keluarga menyiram air mawar di pusara Allahyarham Mohd.Aizat Husni di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Payong, Besut Terengganu. - UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: “Dia memberitahu hendak balik kampung bawa ramai kawan-kawan tetapi kami langsung tidak menyangka kepulangannya kali ini sebagai jenazah.”

Demikian luahan Nur Ain Husni, 38, selepas adiknya, Mohd. Aizat, 33, maut dalam nahas melibatkan penunggang motosikal Yamaha RXZ di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Jabor, Kuantan, Pahang, kelmarin.

Nur Ain berkata, Allahyarham adiknya adalah seorang yang ceria, berdikari dan sudah lama merantau mencari rezeki sebelum membuka bengkel membaiki kenderaan di Pekan, Pahang selain mendirikan rumah tangga kali kedua pada Disember tahun lalu.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu kira-kira dua minggu lepas ketika menghadiri majlis kenduri anak saudaranya di Pulau Pinang.

“Arwah ada beritahu dia hendak balik kampung dan bawa kawan-kawan bersama untuk berjalan-jalan di sini selepas selesai program kumpulan motosikal mereka semalam (kelmarin).

“Kami anggap ia kepulangan seperti sebelum-sebelum ini, namun rupa-rupanya dia pulang sebagai jenazah,” ketika ditemui di Kampung Bukit Payong di sini.

Jenazah Allahyarham Mohd. Aizat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Payong kira-kira pukul 10.15 malam kelmarin.

Menurut Nur Ain, nahas yang menimpa Mohd. Aizat yang merupakan anak keempat daripada sembilan beradik itu hanya diketahui selepas keluarganya menerima panggilan telefon daripada isteri Allahyarham kira-kira pukul 1 pagi memaklumkan adiknya itu terlibat dalam kemalangan.

Katanya, Allahyarham Mohd. Aizat turut meninggalkan tiga cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu yang kini tinggal bersama bekas isterinya di Pekan.

“Allahyarham yang mengusahakan bengkel kenderaan dikenali sebagai seorang yang rajin bekerja serta ringan tulang membantu rakan-rakan dan ahli keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN