LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui, dia lebih rela bersaing merebut gelaran dengan orang lain berbanding Pep Guardiola apabila bakal berentap dengan ‘sifunya’ itu sekali lagi pada pusingan keempat Piala FA esok.
Arteta dan Guardiola juga bersaing sengit dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris, di mana Arsenal berada di tangga teratas, manakala Manchester City menghambat di kedudukan kedua.
Kedua-dua jurulatih dari Sepanyol itu pernah berkerjasama dari 2016 hingga 2019, di mana Arteta bertindak sebagai pembantu Guardiola sebelum meninggalkan The Citizens untuk membimbing Gunners.
Justeru Arteta menegaskan persaingan sengit antara dirinya dan Guardiola musim ini tidak akan menjejaskan persahabatan mereka.

“Ia tidak akan mengubah persahabatan kami kerana dia (Guardiola) insan penting dalam hidup dan kerjaya saya.
“Kami berdua mahukan kemenangan dan memastikan pasukan kami dalam keadaan terbaik. Saya lebih rela menentang orang lain.
“Saya sentiasa mahu melihat yang terbaik daripada Pep, jadi apabila dia menjadi penghalang saya, ia memberi satu perasaan yang pelik,” jelas Arteta.
City memegang rekod baik ke atas Arsenal dengan memenangi lima daripada enam pertemuan terakhir mereka.
⚽️ 𝗧𝗥𝗔𝗜𝗡𝗜𝗡𝗚 ⚽️
Looking ahead to Arsenal! 👊 pic.twitter.com/a0FQCBRWWj
— Manchester City (@ManCity) January 25, 2023
Begitupun, anak-anak buah Arteta menunjukkan prestasi ketika ini, dan dua pasukan terbaik liga itu juga belum menguji satu sama lain musim ini.
Selepas mengharungi 19 perlawanan liga, Arsenal mengungguli carta dengan 50 mata, lima mata di depan City.
Kedua-dua pasukan akan berentap lagi dalam saingan liga pada bulan depan dan April ini.
“Apa yang akan berlaku tidak menggambarkan perjalanan liga kerana Piala FA dan Liga Perdana dua kejohanan berbeza,” kata Arteta.
Arteta dan Guardiola juga dijangka melakukan beberapa pertukaran bagi memberi peluang buat pemain utama berehat.
‘Mesin gol’ City, Erling Haaland mungkin direhatkan daripada kesebelasan utama, manakala Arsenal dijangka meletakkan Matt Turner sebagai penjaga gawang. – AGENS