Lee Tuck mahu terus sarung jersi Harimau Malaya

Lee Tuck mahu terus sarung jersi Harimau Malaya

Lee Tuck idam untuk terus mendapat kepercayaan Kim Pan Gon.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain naturalisasi negara, Lee Tuck berharap dia akan terus diberikan kepercayaan oleh ketua jurulatih, Kim Pan Gon untuk mewakili Harimau Malaya pada kejohanan Piala Asia 2023.

Dilahirkan di Halifax, England, Tuck yang berumur 34 tahun berkata, pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan di Piala AFF 2022 sangat berharga buat dirinya dan pengalaman itu akan dikenang sepanjang hayatnya.

“Ia satu pengalaman yang hebat, saya berkumpul selama 45 hari bersama rakan-rakan dan jurulatih, ia satu peluang yang sukar dilupakan. Saya rasa kami telah tunjukkan semangat berpasukan dan kesungguhan bermain untuk negara.

“Saya bangga dengan semua pemain dan berharap dapat terus jadi sebahagian skuad ini. Malangnya kali ini, kami tidak dapat teruskan kemaraan. Tetapi kami harus lihat ke hadapan dan terus berusaha keras,” katanya.

Tuck berkata, antara kenangan terbaiknya bersama Harimau Malaya adalah beraksi di hadapan 65,000 penyokong Harimau Malaya dan dia juga akui itu sememangnya menjadi impian setiap pemain.

“Kami mengembara ke beberapa negara berbeza, lawan pasukan yang berbeza dengan sokongan padu daripada penyokong dalam setiap perlawanan tidak kira lokasi kami bermain.

“Mereka memang sangat hebat, bermain di hadapan lebih 65,000 penyokong adalah impian setiap pemain, kejohanan ini adalah satu pengalaman yang istimewa,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cabaran musim baharu bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tuck berkata, dia perlu bekerja keras untuk membuktikan kemampuannya untuk memberi impak kepada pasukan tersebut bagi musim ini.

“Motivasi saya lebih tinggi untuk bermain dengan KDA FC bagi membuktikan saya masih layak mewakili Malaysia selepas ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya