SEREMBAN: Ahli perniagaan, Tei Jian Cheing, 37 atau lebih dikenali sebagai Albert Tei, mengesahkan alamat kediaman yang didaftarkan pada kad pengenalannya adalah di Negeri Sembilan.
Katanya, alamat yang didaftarkan pada kad pengenalannya itu adalah di Taman Seremban Jaya di sini.
“Alamat saya di Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan. Jadi saya tidak tahulah dari mana mereka dapat maklumat mengatakan alamat saya bukan di Negeri Sembilan. Lain kali sila semak dahulu sebelum berucap,” katanya.
Beliau ditemui pemberita di hadapan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook menyarankan Albert menukar alamat tempat tinggalnya terlebih dahulu jika mahu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Saranan itu dibuat selepas Albert dilaporkan menyatakan hasrat untuk bertanding di DUN Chennah yang kini disandang Anthony Loke.
Dalam pada itu, Albert mengesahkan beliau berminat untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) dan sedang mengadakan perbincangan dengan kepimpinan gabungan berkenaan.
“Saya berminat dengan Perikatan Nasional dan sedang berbincang dengan pucuk pimpinan. Saya masih baharu dalam arena politik, jadi terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menentukan.
“Saya difahamkan mereka juga menggalakkan dan menyokong saya. Dalam masa terdekat saya akan mengesahkan perkara itu,” katanya.
Sementara itu, Albert memaklumkan beliau hadir ke pejabat SPRM Negeri Sembilan bagi membuat laporan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon.
Ia berhubung dakwaan penyaluran dana berjumlah RM180,000 kepada pusat khidmat wakil rakyat berkenaan.
Beliau mendakwa penyaluran dana itu dibuat sehari sebelum DUN Negeri Sembilan dibubarkan dan menggesa SPRM menjalankan siasatan secara telus.-UTUSAN.










